Skip to main content

YBrs. Dr. Mohd Gazali Abas Dilantik KSU Kementerian Sumber Manusia Baharu

PUTRAJAYA, 9 Okt (Bernama) — YBrs. Dr. Mohd Gazali Abas dilantik sebagai Ketua Setiausaha Kementerian Sumber Manusia (KSM) yang baharu bermula hari ini, menggantikan Datuk Seri Adenan Abdul Rahman yang bersara pada 5 Okt lepas.

YBrs. Dr. Mohd Gazali Abas, 57, sebelum ini adalah Pengarah Institut Tadbiran Awam Negara (INTAN).

Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Dr Ali Hamsa berkata Mohd Gazali telah berkhidmat dalam perkhidmatan awam selama lebih 31 tahun apabila mula menyertai Perkhidmatan Tadbir dan Diplomatik pada 13 Jan 1986.

“Beliau berpengalaman luas dalam bidang pembangunan sumber manusia serta pengurusan projek dan kewangan menerusi karier perkhidmatan,” katanya dalam kenyataan hari ini mengumumkan pelantikan itu.

YBrs. Dr. Mohd Ghazali juga pernah berkhidmat sebagai Timbalan Ketua Setiausaha (Operasi) KSM; Pengarah Seksyen Pembangunan Modal Insan, Unit Perancang Ekonomi; dan Pengarah Eksekutif Network of Asia Pacific Schools and Institute of Public Administration and Governance (NAPSIPAG).

-BERNAMA

TPM Cadang Wujudkan Indeks Kesejahteraan Psikologi Malaysia

PUTRAJAYA, 9 Okt (Bernama) –Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mencadangkan agar Indeks Kesejahteraan Psikologi Malaysia diwujudkan bagi mengukur tahap kesejahteraan mental dan emosi rakyat negara ini.

Beliau berkata ia penting bagi memastikan tenaga kerja yang menyumbang kepada pembangunan negara diisi dengan individu-individu yang sentiasa berfikiran positif, matang, mempunyai keupayaan berfikir secara kreatif dan inovatif serta ampuh menghadapi cabaran dunia semasa.

“Modal insan bertaraf dunia boleh dicapai sekiranya setiap tenaga kerja mempunyai minda dan keinginan untuk mencapai kecemerlangan, disaluti etika yang luhur dan mengamalkan budaya berpencapaian tinggi,” katanya ketika berucap merasmikan Persidangan Psikologi Modal Insan 2017, di sini hari ini.

Beliau mahu perkhidmatan psikologi dalam pengurusan modal insan negara ini terus diperkasa bagi memastikan keseimbangan fizikal, emosi, tingkah laku dan rohani warga kerja berada di tahap yang terbaik untuk memberi sumbangan terbaik kepada negara.

“Setiap guna tenaga yang ada di negara ini perlu dipastikan dalam keadaan terbaik agar mereka boleh bersama menggerakkan gelombang kecemerlangan negara menjelang 2050,” katanya.

Dalam perkhidmatan awam, katanya, sistem sokongan serta pencegahan kepada permasalahan psikologi bagi membantu penjawat awam telah diwujudkan melalui Program Rakan Pembimbing Perkhidmatan Awam (AKRAB).

Sejak diperkenalkan pada 2005, program itu telah berjaya dan berfungsi untuk membantu penjawat awam menangani isu dalam kehidupan dan pekerjaan mereka, katanya.

Ahmad Zahid berkata kerajaan melalui Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) juga telah melancarkan Program Return to Work (RTW) pada 2007 bertujuan membantu pencarum yang hilang upaya menjalani sesi kaunseling, intervensi pemulihan fizikal, pemulihan vokasional, latihan pekerjaan dan akhirnya boleh kembali bekerja.

Menurutnya, sejak diperkenalkan pada 2007 hingga Ogos 2017, seramai 17,183 orang pekerja telah berjaya dipulihkan dan kembali semula bekerja di bawah program RTW.

Pada persidangan yang dihadiri 7,000 peserta sektor awam dan swasta itu, Ahmad Zahid turut menyaksikan pemeteraian memorandum persefahaman (MoU) antara Perkeso dan JobStreet.com bagi program RTW.

— BERNAMA

Forum Perdana Ehwal Islam: Payung Negara

Oleh: Hazrizul Hashim. 

Pada 14 September 2017 (Khamis), seramai kira-kira 200 orang peserta Program Diploma Pascasiswazah Pengurusan Awam (DPA) INTAN Bil.1/2017 berasa amat bertuah kerana menerima jemputan khas daripada pihak Istana Negara untuk menghadiri program “Forum Perdana Ehwal Islam” dengan tajuknya “Payung Negara”. Program yang disiarkan secara langsung di saluran TV1 pada pukul 9.30 malam itu dianjurkan bersempena dengan ulang tahun Hari Keputeraan Rasmi Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong XV Sultan Muhammad V.

Para peserta Program Diploma Pascasiswazah Pengurusan Awam (DPA) INTAN Bil.1/2017 yang terlibat telah berkumpul seawal pukul 6.30 petang di perkarangan Auditorium sebelum bergerak ke Istana Negara dengan menaiki lima buah bas yang disediakan oleh pihak INTAN.

Antara panel jemputan bagi forum tersebut ialah Mufti Wilayah Persekutuan, S.S Datuk Dr. Zulkifli bin Mohamad Al-Bakri serta dua penceramah tersohor dan disegani diseluruh Tanah Air iaitu, Datuk Ustaz Mohammad Kazim bin Elias dan Dato’ Ustaz Badli Shah bin Alauddin.

Kupasan topik berkenaan Payung Negara oleh barisan panel dilihat sangat bermanfat dan penuh dengan pengisian. Isu runtuhnya institusi beraja dari sudut sejarah turut dikupas dan dikaitkan dengan konsep taat kepada pemimpin yang diterapkan dalam ajaran Islam. Rata-rata peserta yang hadir ke forum ini berpandangan bahawa forum seperti ini amat penting untuk menanam sifat kesetiaan kepada raja dan negara dalam kalangan peserta yang merupakan bakal pemimpin sektor-sektor awam pada masa akan datang.

Flab-U-Less: “Fitter, Healthier, Happier”

Pada hari Selasa (12 September) yang lalu, Exco Sukan telah mengadakan program Flab-U-Less. Dengan moto “Fitter, Healthier, Happier”, program yang dianjurkan khusus buat para peserta Program Diploma Pascasiswazah Pengurusan Awam (DPA) INTAN Bil.1/2017 yang mempunyai nilai BMI melebihi 28.0 ini telah dirasmikan oleh YBrs. Dr. Razali bin Ab. Malik, Ketua Kluster Pembangunan Profesional dan Etika (KPPE).

Gimik pelancaran program Flab-U-Less telah disempurnakan oleh Dr. Razali bin Ab. Malik, Ketua Kluster Pembangunan Profesional dan Etika (KPPE).

Turut sama memeriahkan majlis ini ialah En. Ahmad Jefry bin Aziz@Adnan, Timbalan Ketua Kluster, Subkluster Pembangunan Modal Insan, barisan Perunding Latihan Kanan (PLK) dan Perunding Latihan (PL). Seramai kira-kira 37 orang peserta yang mempunyai nilai BMI melebihi 28.0 telah hadir pada sesi pertama program Flab-U-Less ini.

Antara intipati ucapan perasmian oleh YBrs. Dr. Razali bin Ab. Malik adalah para kadet perlulah mendisiplinkan diri menjaga kesihatan tubuh dan berat badan walaupun seusai tamat program Flab-U-Less ini, malah turut menyasarkan para peserta program untuk memperolehi nilai BMI tidak lebih 25 selepas 3 bulan.

Dr. Razali turut menambah agar para kadet perlu sentiasa bersenam dan menjaga pemakanan masing-masing. Memetik kata-kata beliau ketika berucap, “Senaman itu penting, pelan pemakanan itu penting, tapi (anda) tak boleh buat salah satu. Sebab itu kami di sini menyuruh saudara-saudari naik tangga sebagai sebahagian dari gaya hidup sihat”

Beliau turut menambah strategi pemakanan “suku-suku-separuh” yang diperkenalkan oleh Kementerian Kesihatan perlulah dipraktikkan oleh para kadet DPA kerana ia amat membantu dalam mendapatkan pemakanan yang seimbang, serta dalam saiz hidangan yang betul.