Skip to main content

Indahnya Hidup Bertuhan

Karya : Muhammad Hadi

Sahabat yang ku kasihi, nukilan ini daku hadiahkan untuk renungan kita bersama. Tiadalah yang lebih elok, nak dibanding dengan apa yang diberi Tuhan Yang Maha Satu. Tiadalah yang lebih buruk, nak dibanding dengan kelemahan diri ku ini. Fahamilah nukilan ku ini. Moga menjadi manfaat buat sahabat sekalian.

Sahabat yang dikasihi,

Pernahkah kita berfikir bagaimana terciptanya alam semesta ini? Bagaimana terciptanya bumi yang kita diami ini? Bagaimana terciptanya sungai yang mengalir deras, diambil manfaat darinya untuk kehidupan kita? Bahkan, bagaimana terciptanya insan di muka bumi yang terbentang luas?

Tidakkah mereka memperhatikan keadaan unta, bagaiman ia diciptakan?{17} Dan keadaan langit, bagaimana ia ditinggikan binaannya?{18} Dan keadaan gunung – ganang, bagaimana ia ditegakkan?{19} Dan keadaan bumi, bagaimana ia dihamparkan?{20}” – Al Ghaasyiyah (17-20)

 

Awaludin Ma’rifatullah

Awal agama adalah mengenal Allah. Dialah Maha Pencipta dan Maha Berkuasa atas setiap penciptaan-Nya. Fitrah beragama adalah lumrah bagi setiap insan. Hanya kepada Tuhan diletakkan segala pengharapan, keampunan serta perlindungan. Kitalah hamba Tuhan di muka bumi. Setiap hamba pasti mengenali siapakah tuannya. Kita adalah hamba kepada Pencipta alam, Dialah Tuhan Yang Maha Berkuasa atas setiap sesuatu, selayaknya Dia disembah dan diagungkan melebihi yang lain. Dialah Allah Al-Khaliq, Maha Pencipta.

“Sesungguhnya pada kejadian langit dan bumi, dan pada pertukaran malam dan siang, ada tanda – tanda (kekuasaan Allah) bagi orang – orang yang berakal.{190} (iaitu) orang yang menyebut dan mengingati Allah semasa mereka berdiri, duduk dan berbaring mengiring, dan mereka pula memikirkan tentang kejadian langit dan bumi (sambil berkata): Wahai Tuhan kami! Tidaklah engkau menjadikan semuanya ini dengan sia – sia, Maha Suci Engkau, maka peliharalah kami dari azab neraka {191}.” – Ali Imran (190-191)

Beruntunglah bagi mereka yang mengenal siapa Tuhan Pencipta Alam, kepada-Nya kita berserah diri, kepada-Nya kita memohon pertolongan, kepada-Nya juga kita memohon keampunan. Dialah Tuhan yang menciptakan sekalian alam, mengurniakan rezeki kepada setiap makhluk ciptaan-Nya. Hamba yang mengenal siapa Tuhannya, pasti memahami tugas dan tanggungjawab sebagai hamba.. Mencintai Tuhannya dengan penuh rasa kecintaan, melebihi perkara lain yang dimiliki. Selayaknya Tuhan berada di tempat yang pertama dalam hati kita kerana Dialah yang menciptakan kita dan melengkapkan kita dengan segala kurniaan nikmat.

 

Cinta Tuhan

Apa diharap padi di seberang,

Entahkan masak entahkan tidak,

Apa diharap kasihnya orang,

Entahkan sayang entahkan tidak.

Cinta Tuhan Cinta Hakiki. Cinta Tuhan Cinta Abadi. Nilai cinta Tuhan tidak setanding harga seisi dunia.

Sahabat,

Tiada salah mencintai sesama insan bahkan tidak sempurna iman seseorang sehingga dia mencintai saudaranya seperti dirinya sendiri. Namun sahabat, hakikat cinta Tuhan itu lebih berpasak pada suatu yang benar dan pasti. Tiadalah yang lain diharapkan selain dari cinta dan redha Tuhan membawa ke syurga. Carilah cinta manusia. Namun, harus diingatjangan sesekali cintamu kepada manusia melebihi cintamu kepada Tuhan Yang Esa serta Rasul-Nya.

Daripada Anas B. Malik R.A., Rasulullah S.A.W. bersabda, “Tiga perkara apabila terdapat dalam diri seseorang, ia merasai kemanisan iman; sesiapa yang cintanya kepada Allah dan Rasul melebihi cintanya kepada yang lain; sesiapa yang cintanya kepada orang lain hanya kerana Allah (dan bukan kerana tujuan duniawi); dan ia membenci kekufuran selepas Allah menyelamatkannya (dari kekufuran), sebagaimana bencinya akan dicampakkan ke dalam api neraka.” – Hadis Riwayat Muslim

Andai engkau tercari – cari cinta sejati, rupanya ia milik Ilahi. Jika engkau kecewa dengan cinta insani, percayalah pasti ada galang ganti. Tatkala kasih Tuhan makin menjauhi, pasti hidup tidak diberkati, kerana Dia pemilik cinta sejati.

 

Amar Ma’ruf Nahi Mungkar

Setelah mengenali siapa Tuhan yang sebenar dan mencintai Dia sepenuh hati, seharusnya kita sedar tugas dan tanggungjawab kita di sini. Hidup yang sementara ini, gunakanlah sebaik mungkin mencari bekal sebelum bertemu pemilik jiwa ini. Amar Ma’ruf Nahi Mungkar bermaksud mengajak manusia ke arah kebaikan dan mencegah manusia daripada berbuat kejahatan. Tugas ini merupakan amanah yang perlu dipikul oleh setiap insan yang bercita – cita mendapatkan redha Ilahi. Setiap Muslim itu adalah bersaudara dan menjadi tanggungjawab kita semua untuk saling menasihati demi kebaikan diri dan saudara Muslim itu sendiri.

Dan hendaklah ada di antara kamu satu puak yang menyeru kepada kebajikan, dan menyuruh berbuat segala perkara yang baik, serta melarang daripada segala yang salah. Dan mereka yang demikian ialah orang yang berjaya.{104}” – Ali Imran (104)

Barangsiapa yang melaksanakan tanggungjawab Amar Ma’ruf Nahi Mungkar disebut sebagai orang yang berjaya. Merekalah penyambung tugas para Rasul bagi menyampaikan risalah yang benar ke seluruh pelosok alam supaya sekalian manusia dapat memahami ajaran Islam yang sebenar berpandukan Al-quran serta Hadis – hadis Nabi. Amanah yang dipikul ini, jika dilaksana dengan baik pasti mewujudkan suasana harmoni, tenang dan sentiasa diberkati malah dapat menjauhkan diri dari perkara – perkara yang tidak baik dan mengelakkan diri dari ditimpa musibah.

 


La Tahzan (Jangan Bersedih)

Kalau kamu tidak menolongnya (Nabi Muhammad) maka sesungguhnya Allah telah menolongnya (Nabi Muhammad), iaitu ketika kaum kafir mengeluarkannya dari negeri Mekah sedang ia salah seorang dari dua orang semasa mereka berlindung di dalam gua, ketika ia berkata kepada sahabatnya: Jangan kamu berdukacita, sesungguhnya Allah bersama kita. Maka Allah turunkan ketenangan kepadanya (Nabi Muhammad) dan menguatkannya dengan bantuan tentera malaikat yang kamu tidak melihatnya. Dan Allah menjadikan seruan orang kafir terkebawah, dan kalimah Allah tertinggi; dan Allah Maha Kuasa lagi Maha Bijaksana.{40}” – At – Taubah (40)

 

Allah S.A.W. tidak menyuruh hambanya bersedih, meraung, meratapi setiap permasalahan yang kita hadapi. Tuhan mengingatkan kita bahawa Dia sentiasa ada bersama dengan kita sama ada di waktu senang ataupun susah dengan syarat kita sentiasa mengingati-Nya pada setiap masa. Setiap kesusahan pasti ada kesenangan. Tatkala kita diuji dengan sesuatu masalah, kita mula merasakan bebanan yang dipikul seolah – olah kita tidak mampu keluar dari masalah tersebut. Namun kita lupa pada semua ujian yang telah kita lalui sebelum ini, di waktu kita memohon bantuan dari Tuhan Yang Maha Kuasa, “Ya Rabb, tolonglah aku. Ringankan lah bebanan ini. Keluarkanlah aku dari permasalahan ini.” dan kini kita telah lupa pada rayuan itu sedangkan Dialah Tuhan yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang. Ingatlah duhai sahabat, Allah tidak menguji seseorang hamba melainkan dengan kadar dan kudrat hamba itu sendiri. Bersabarlah, tetaplah sentiasa berpegang pada tali yang benar kerana Tuhanmu telah menjanjikan balasan pahala yang tidak terbatas buat mereka yang bersabar.

Katakanlah: Wahai hamba – hambaKu yang beriman! Bertakwalah kepada Tuhanmu. Orang yang berbuat baik di dunia ini akan beroleh kebaikan di akhirat. Dan bumi Allah ini luas. Sesungguhnya orang yang bersabarlah sahaja yang akan disempurnakan pahala mereka dengan tidak terkira.{10}” – Az – Zumar (10)

 

Insan Terbaik

Sedarlah duhai sahabat, kehidupan kita tidak berakhir di dunia ini. Kita akan kembali bertemu Sang Pencipta di suatu hari yang tiada siapa mengetahuinya dengan membawa dosa dan pahala atas setiap amalan kita. Pada hari itu, akan dihitung segala baik buruk yang telah kita lakukan sewaktu hidup di dunia dan diberi balasan yang setimpal dengannya. Beruntunglah bagi mereka yang sentiasa mengingati asal kejadian, mengenali dan mencintai Tuhannya serta beramal dengan sebaik – baik amalan. Darjat, kedudukan, harta dan apa sahaja hal keduniaan langsung tidak memberi manfaat melainkan apa yang telah kita sumbangkan untuk menegakkan syiar agama Islam. Di saat kita mula mempertuhankan wang dan kedudukan, tunggulah balasan azab dari Allah Yang Maha Membalas.

Wahai umat manusia! Sesungguhnya kami telah menciptakan kamu lelaki dan perempuan, dan Kami telah jadikan kamu berbagai bangsa dan suku puak, supaya kamu saling berkenalan. Sesungguhnya semulia – mulia kamu di sisi Allah ialah orang yang paling bertakwa di antara kamu. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Mendalam Pengetahuan – Nya.{13}” – Al – Hujurat (13)

 

Sahabat, persiapkanlah bekalanmu sebelum dijemput menghadap Ilahi dan bertakwalah dengan sebenar – benar takwa, nescaya kamu tergolong dalam kalangan hamba yang mulia di sisi Tuhanmu.

One thought to “Indahnya Hidup Bertuhan”

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *