Skip to main content

Rohingya – Myanmar, Bukan Sekadar Isu Agama

Oleh: Wan Siti Auni binti Wan Samsudin. 

Rohingya merupakan kelompok minoriti Islam di Myanmar dan disenaraikan sebagai etnik yang paling ditindas di dunia oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB). Etnik Rohingya dikatakan mempunyai campuran darah pelbagai bangsa seperti Arab, Parsi, Afghanistan, Bengal dan juga Chittagong. Etnik Rohingya tinggal di daerah Rakhine (Arakan) dan merupakan salah satu etnik terbesar selain daripada Rakhines (penganut Buddha).

Ada pendapat yang mengatakan bahawa penempatan Muslim di Rakhine telah bermula lebih 500 tahun dahulu. Namun semasa penaklukan Burma (Myanmar) ke atas Rakhine, ramai etnik Rohingya telah dibunuh dan melarikan diri ke negara lain. Selepas Rakhine ditawan oleh British, etnik Rohingya kembali semula ke Rakhine dan menyokong kerajaan British. Sewaktu Perang Dunia Ke-2, kebanyakan pejuang tempatan Burma memperjuangkan kemerdekaan Burma dari British dengan menyokong Jepun. Disebabkan perbezaan sokongan terhadap penjajah, maka tercetuslah konflik dan juga pertumpahan darah diantara Rohingya dan juga Rakhines (penganut Buddha di Rakhine).

Semasa kemerdekaan Burma pada tahun 1948, semua etnik-etnik di Burma kecuali Karen dan Rohingya telah bersetuju untuk menandatangani Perjanjian Panglong untuk menubuhkan Union of Burma. Etnik Karen menentang kerajaan tentera dan memperjuangkan Negeri Karen. Walaupun etnik Karen bukan beragama Islam dan diiktiraf sebagai warganegara, etnik mereka juga ditindas dan tidak terkecuali dari operasi pembersihan etnik oleh kerajaan tentera. Implikasinya, hampir beribu orang Karen (Buddha dan Kristian) terbunuh dan menjadi pelarian. Untuk mengelakkan berlaku lagi gerakan menentang kerajaan tentera, Jeneral Ne Win (Perdana Menteri) mengarahkan supaya pemimpin-pemimpin golongan minoriti ditangkap dan dihalau dari Myanmar selain menafikan hak pemimpin tersebut untuk mengundi.

Carta alir sejarah kependudukan Rohingya di Arakan
Muka hadapan dokumen Akta Warganegara Burma 1982

Akta Warganegara 1982 yang diwujudkan kerajaan Myanmar juga menjadi penyumbang kepada isu Rohingya. Untuk menjadi warganegara Myanmar, individu tersebut hendaklah dapat membuktikan bahawa keturunan mereka telah tinggal di Burma sebelum tahun 1823. Rohingya menerima kesan daripada akta ini kerana tidak dapat membuktikan dakwaan yang mereka telah berada lama di Myanmar. Oleh itu, sehingga ke hari ini Rohingya dianggap sebagai pendatang haram dari Bangladesh dan dinafikan segala hak keistimewaan sebagai warganegara.

Buddhism mempunyai pengaruh yang kuat dalam masyarakat Burma dan kerajaannya kerana ianya merupakan agama rasmi negara Burma (Myanmar). Pihak tentera dan kumpulan Gerakan 969 dipimpin oleh seorang sami bernama Ashin Wirathu. Ashin Wirathu mempengaruhi penduduk Myanmar untuk membenci Islam dengan menyebarkan dakwah bersifat anti-Islam melalui media sosial dan DVD. Ramai penduduk Buddha terpengaruh dan menyokong gerakan ini. Hal ini telah menyebabkan parti kerajaan yang memerintah sekarang tidak membantah tindakan Wirathu kerana bimbang akan hilang sokongan rakyat Myanmar. Aung San Suu Kyi juga hanya mendiamkan diri mengenai isu ini kerana takut untuk kehilangan sokongan rakyat.

Ashin Wirathu

Ajaran dan idea yang dibawa oleh Ashin Wirathu ini adalah bersifat peribadi dan juga dikategorikan sebagai extremis Buddha. Ini kerana idea untuk menyebarkan kebencian terhadap agama lain adalah bertentangan dengan mana-mana agama yang ada di dunia ini termasuk Islam.  Dalam ajaran Buddha, Buddha sendiri melarang penganutnya untuk menyebarkan ajaran melalui senjata dan kekerasan apatah lagi melakukan penindasan terhadap mereka yang tidak sehaluan.

            Sebagai kesimpulannya, isu Rohingya berlaku adalah bukan sahaja disebabkan oleh faktor agama ianya juga berkaitan dengan sejarah, bangsa, politik dan juga warganegara. Sebagai individu, setiap daripada kita hendaklah memainkan peranan untuk bersuara terhadap penindasan yang berlaku ke atas warga Rohingya. Usaha berterusan untuk membela nasib Rohingya sepatutnya sentiasa dilakukan. Kita juga haruslah bersifat adil dalam membela nasib pelarian-pelarian tidak kira daripada mana asalnya mereka. Kita juga perlulah sentiasa meletakkan hak asasi kemanusiaan sebagai perkara paling utama yang akan dititikberatkan dalam membantu dan menyuarakan hak-hak mereka yang ditindas.

Sumber:

  • http://www.aljazeera.com/indepth/features/2017/08/rohingya-muslims-170831065142812.html
  • https://www.washingtonpost.com/news/worldviews/wp/2015/02/13/why-does-this-buddhist-majority-nation-hate-these-muslims-so-much/?utm_term=.f4e682a86d7e

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *