Pada hari Selasa (12 September) yang lalu, Exco Sukan telah mengadakan program Flab-U-Less. Dengan moto “Fitter, Healthier, Happier”, program yang dianjurkan khusus buat para peserta Program Diploma Pascasiswazah Pengurusan Awam (DPA) INTAN Bil.1/2017 yang mempunyai nilai BMI melebihi 28.0 ini telah dirasmikan oleh YBrs. Dr. Razali bin Ab. Malik, Ketua Kluster Pembangunan Profesional dan Etika (KPPE).
Turut sama memeriahkan majlis ini ialah En. Ahmad Jefry bin Aziz@Adnan, Timbalan Ketua Kluster, Subkluster Pembangunan Modal Insan, barisan Perunding Latihan Kanan (PLK) dan Perunding Latihan (PL). Seramai kira-kira 37 orang peserta yang mempunyai nilai BMI melebihi 28.0 telah hadir pada sesi pertama program Flab-U-Less ini.
Antara intipati ucapan perasmian oleh YBrs. Dr. Razali bin Ab. Malik adalah para kadet perlulah mendisiplinkan diri menjaga kesihatan tubuh dan berat badan walaupun seusai tamat program Flab-U-Less ini, malah turut menyasarkan para peserta program untuk memperolehi nilai BMI tidak lebih 25 selepas 3 bulan.
Dr. Razali turut menambah agar para kadet perlu sentiasa bersenam dan menjaga pemakanan masing-masing. Memetik kata-kata beliau ketika berucap, “Senaman itu penting, pelan pemakanan itu penting, tapi (anda) tak boleh buat salah satu. Sebab itu kami di sini menyuruh saudara-saudari naik tangga sebagai sebahagian dari gaya hidup sihat”
Beliau turut menambah strategi pemakanan “suku-suku-separuh” yang diperkenalkan oleh Kementerian Kesihatan perlulah dipraktikkan oleh para kadet DPA kerana ia amat membantu dalam mendapatkan pemakanan yang seimbang, serta dalam saiz hidangan yang betul.