Skip to main content

INTRADE – Kadet PTD Selami Kehidupan

KUALA LUMPUR 19 April – Program Submodul Inisiatif Transformasi Desa (INTRADE) di bawah Program Diploma Pascasiswazah Pengurusan Awam Institut Tadbiran Awam Negara (DPA INTAN) tahun 2017 berjaya memberi pendedahan kepada para peserta untuk lebih memahami corak kehidupan dan de­nyut nadi masyarakat luar bandar.

Dalam program tersebut, seramai 238 peserta Program DPA INTAN 2017 yang juga dikenali sebagai Kadet Pegawai Tadbir dan Diplomatik (PTD) menjalankan pelbagai aktiviti kemasyarakatan di tiga buah perkampungan di daerah Kemaman sejak 8 April lalu.

Perunding Latihan, Kluster Pembangunan Profesional dan Etika INTAN, Zul Al Rashid Mohammad berkata, program kemasyarakatan tersebut dapat membina jaringan perhubungan yang berkesan antara Kadet PTD dengan pemimpin masyarakat setempat, pegawai kerajaan dan orang awam.

Menurutnya, pelaksanaan Submodul INTRADE itu bertujuan memberi pendedahan kepada para peserta berhubung tatacara pengurusan dan pentadbiran perkhidmatan awam di peringkat negeri dan daerah dari perspektif silang budaya.

“Selain itu, para peserta juga dapat menyelami keunikan cara hidup sosioekonomi dan kepelbagaian budaya masyarakat di peringkat akar umbi melalui program-program kemasyarakatan yang dijalankan,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini, hari ini.

Para peserta telah menjalankan program kemasyarakatan di tiga buah kampung iaitu Kampung Ayer Jerneh, Kampung Pasir Gajah dan Kampung Kuala Kemaman.

Antara aktiviti yang dijalankan sepanjang 11 hari itu adalah karnival mega, gotong-royong perdana, program motivasi pelajar serta menterjemah batu bersurat perkampungan Hainan.

Turut diadakan program ubah suai perpustakaan Sekolah Kebangsaan Kampung Pasir Gajah, sumbangan makanan kepada golongan asnaf serta pembinaan mercu tanda Kampung Kuala Kemaman.

Sementara itu, ketika menutup program berkenaan, Pegawai Daerah dan Pentadbir Tanah Kemaman, Mohd. Zahari Md. Azhar mengucapkan terima kasih kepada pihak INTAN kerana mengadakan program tersebut di daerah tersebut. (Sumber : Utusan Malaysia)

KURSUS PRA-PERKAHWINAN DPA 2017

BUKIT KIARA: Seramai 48 orang peserta Program DPA INTAN 2017 dan 4 orang warga kerja INTAN menghadiri Kursus Pra-Perkahwinan DPA 2017. Program yang berlangsung selama dua hari bermula 17 Mac 2018 dan tamat pada 18 Mac 2018 tersebut merupakan anjuran Exco Kerohanian dan Integrasi, Majlis Perwakilan Peserta Program DPA INTAN 2017.

Menghadiri Kursus Pra-Perkahwinan Islam (KPPI) adalah salah satu pra-syarat mendirikan rumah tangga yang ditetapkan oleh pihak berkuasa agama di Malaysia. Sijil yang diberikan kepada para peserta setelah selesai menjalani kursus adalah salah satu dokumen wajib yang perlu disertakan dalam permohonan nikah.

Menurut pengarah program, Encik Mohd. Fakhrul Islam bin Juhali, program berjalan lancar hasil kerjasama erat para ahli jawatankuasa program, pihak Jabatan Kemajuan Agama Islam Malaysia (JAKIM), Sub Kluster Pembangunan Modal Insan (SKPMI) dan tentunya para peserta.

Tambah beliau juga, “Selain merupakan syarat yang termaktub dalam peraturan, yang lebih utama adalah pengisian dalam program tersebut yang merupakan persediaan penting bagi mana-mana pasangan Islam yang mahu mendirikan rumah tangga. Khasnya sebagai bakal pegawai tadbir dan diplomatik yang akan memikul tanggungjawab besar dalam perkhidmatan, ilmu dan kemahiran mengawal emosi, masa, komunikasi, kewangan di samping hukum-hakam yang berkaitan pernikahan adalah penting.”

Kadet PTD Beriadah Bersama KSU KeTTHA

PUTRAJAYA, 3 Januari : YBhg. Dato’ Seri Ir. Dr. Zaini Ujang, Ketua Setiausaha (KSU) Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air (KeTTHA) telah bersama sebahagian peserta Program Diploma Pascasiswazah Pengurusan Awam (DPA) INTAN atau lebih dikenali sebagai Kadet PTD dalam sesi riadah di sekitar Putrajaya Wetlands di sini hari ini.

Sesi riadah ini merupakan salah satu aktiviti berkala yang dirancang dan dilaksanakan oleh KSU KeTTHA bersama-sama pihak pengurusan tertinggi dan kumpulan sokongan KeTTHA.  Sesi bermula pada jam 5.oo petang dimana para peserta dibawa mengelilingi Putrajaya Wetlands dengan berjalan kaki. Penerangan secara ringkas telah diberikan oleh Ybhg. Dato’ Seri KSU berkaitan bagaimana Putrajaya Wetlands ini berfungsi sebagai water catchment dan juga rekabentuknya yang mempunyai 3 peringkat yang berbeza kedalamannya.

Mengadaptasi konsep 1 Kindness A Day, para peserta juga mengambil peluang mengutip sampah-sarap yang terdapat di sepanjang laluan. Aktiviti yang begitu bermakna ini membuatkan para peserta DPA INTAN 2017 terasa amat bertuah kerana bukan sahaja ilmu serta maklumat yang disampaikan oleh Ybhg. Dato’ Seri KSU merupakan perkara yang baharu, bahkan pengalaman turun beriadah bersama beliau merupakan satu sesi engagement yang cukup baik bagi peserta DPA bersama kementerian dalam menjalani submodul Strategic Partnership Programme (SPP).

SPP merupakan submodul bagi modul Strategic Internship Programme (SIP) yang dijalankan selama 5 minggu bermula pada 26 Disember 2017 hingga 26 Januari 2018. Ianya melibatkan 238 peserta bagi siri pertama yang ditempatkan di 25 kementerian bagi memberi pendedahan awal kepada para peserta DPA terhadap budaya kerja perkhidmatan awam di kementerian dan agensi dibawahnya.

INVICTUS Rangkul 2 Anugerah Contoh Bulanan – September 2017

INTAN KIARA 2 Nov. – Aspirasi untuk menjadi kumpulan contoh yang mempunyai ciri-ciri proaktif, berdisiplin, kebersamaan, saling menyokong kearah keajayaan, dan pentadbiran kumpulan yang tersusun sepanjang bulan September yang lepas telah menobatkan Invictus sebagai penerima Anugerah Kumpulan Contoh Bulanan – September yang julung kalinya diperkenalkan oleh Subkluster Pembangunan Modal Insan (SKPMI) INTAN. Anugerah tersebut telah disampaikan oleh Ybrs Dr Razali bin Ab. Malik, Ketua Kluster Pembangunan Profesional dan Etika pada satu majlis ringkas yang diadakan bersekali dengan riadah petang (Physical Training-PT) yang dihadiri oleh pegawai-pegawai daripada SKPMI dan keseluruhan kadet Neowangsa.

Secara umumnya, anugerah ini telah diperkenalkan oleh pihak SKPMI bagi menilai kumpulan yang telah memenuhi kriteria tertentu yang telah ditetapkan. Antara kriteria tersebut adalah disiplin, kehadiran, adab dan sahsiah, kekemasan bilik kuliah dan penjagaan fasiliti  serta sumbangan atau daya usaha yang dipamerkan oleh setiap kumpulan. Bagi kumpulan Invictus, setiap modul yang dihadiri dan aktiviti yang dirancang telah mendapat kerjasama yang amat erat daripada kadet Invictus. Kadet turut menerima maklum balas positif daripada pihak tenaga pengajar di atas sikap proaktif yang ditonjolkan sewaktu sesi kuliah. Sikap suka bertanya dan memberi pandangan ketika diminta oleh para tenaga pengajar telah mewujudkan suasana perkongsian ilmu yang interaktif dan berkesan dalam melihat tahap pemahaman para kadet terhadap sesuatu tajuk dan topik yang dibentangkan. Hal in sekaligus memudahkan para tenaga pengajar untuk memberikan latih amal yang bersesuaian dan penerangan yang lebih spesifik untuk menerangkan dengan lebih jelas dan dapat difahami oleh para kadet.

Selain itu, dengan sokongan daripada JK bulan September, majoriti kadet Invictus telah berusaha keras untuk penambahbaikan sahsiah untuk sentiasa memastikan tahap disiplin mereka dalam keadaan yang paling baik. Kadet menepati masa bagi setiap slot atau aktiviti yang dijalankan dan turut menerima pujian daripada tenaga pengajar Modul Pengurusan Kewangan Awam atas kehadiran para kadet yang sangat awal pada hari pengenalan modul. Aktiviti-aktiviti dalam kumpulan yang telah dilaksanakan oleh JK bulan September seperti aktiviti potluck, sesi santai boling, gotong-royong membersihkan sekitar DSG dan pembelian jam dinding untuk kegunaan di DSG serta sesi bersama PLK dan PL Invictus telah banyak membantu para kadet yang dilihat agak pasif pada bulan yang lalu telah banyak menonjol dan memberikan kerjasama terbaik dalam memastikan kelancaran dan kejayaan setiap aktiviti yang telah dirancang. Hal ini telah terbukti dengan kerjasama erat yang telah terjalin di antara kadet Invictus dalam membantu satu sama lain untuk melaksanakan segala tugasan, mematuhi arahan-arahan pentadbiran dengan lebih baik dan sikap bertolak ansur sesama kadet.

Di samping aktiviti dalaman kumpulan, kadet Invictus turut melibatkan diri dengan aktif dalam program anjuran SKPMI dan MPP seperti Forum Diraja di Istana Negara, Malam Kemuncak Kemerdekaan, Perhimpunan Mingguan, Kelas Bahasa Inggeris dan Bahasa Mandarin, Kuliah Fiqh serta Kelas Pengajian Al-Quran di Surau Ar-Raudhah. Melalui penyertaan ini telah memberikan kadet Invictus pengalaman berharga dan juga meningkatkan pengetahuan serta kemahiran praktikal bagi memenuhi aspirasi pelaksanaan program DPA iaitu “AKSARA – Attitude, Knowledge, Skills, Adaptability, Resilience, Agility”.

Pada majlis tersebut juga telah disampaikan satu lagi anugerah iaitu Anugerah Kadet Contoh Bulan September kepada Saudara Muhammad Afifi Shakir Bin Mahmood Sabri yang juga merupakan Pengurus JK September Kumpulan Invictus. Pemilihan beliau sebagai penerima anugerah ini telah diputuskan oleh pihak SKPMI berdasarkan prestasi akademik dan sahsiah, penglibatan serta sumbangan yang telah dilaksanakan sepanjang bulan September yang lalu. Temubual ringkas bersama beliau sejurus selesai majlis sempat beliau berkongsi tentang resipi yang menjadi pegangan dan mungkin dapat dicontohi oleh rakan kadet Neowangsa yang lain. Antaranya adalah beliau menekankan kepentingan sifat “Qawiyyul Amin” seperti yang dinukilkan dalam Al-Quran, Surah Al-Qasas, Ayat 26, yang bermaksud kuat dan amanah. Beliau percaya bahawa dua sifat asas ini penting untuk dimiliki dan dijiwai oleh setiap pemimpin pada hari ini terutama warga kadet DPA 2017 agar agenda transformasi negara betul-betul dapat dilaksanakan dan dikekalkan hingga mencapai ketamadunan hebat pada tahun 2050 nanti. Sesungguhnya beliau amat bersyukur kepada Allah dengan penganugerahan tersebut dan berharap dapat meneruskan sumbangan yang lebih banyak baik kepada pihak SKPMI dan INTAN mahupun keseluruhan rakan kadet Neowangsa.

Tun Abdullah Ahmad Badawi dianugerah Felo INTAN 2017

SERDANG, 19 Oktober (Bernama) : Perdana Menteri kelima Tun Abdullah Ahmad Badawi dianugerahkan Felo Institut Tadbiran Awam Negara (INTAN) 2017 pada Majlis Istiadat Penganugerahan Diploma Pascasiswazah Pengurusan Awam (DPA) INTAN di Taman Ekspo Pertanian Malaysia Serdang (MAEPS) di sini hari ini.

Ketua Setiausaha Negara, YBhg. Tan Sri Dr. Ali Hamsa menyampaikan anugerah berkenaan kepada Nori Abdullah yang mewakili ayahandanya pada majlis tersebut.

YBhg. Tan Sri Dr. Ali Hamsa dalam ucapannya berkata Tun Abdullah Ahmad Badawi merupakan negarawan ulung dan telah menabur khidmat bakti yang besar kepada perkhidmatan awam dan negara.

Sumber : Facebook Rasmi YBhg. Tan Sri Dr. Ali Hamsa

Tun Abdullah Ahmad Badawi berkhidmat dalam perkhidmatan awam sebagai Pegawai Tadbir dan Diplomatik (PTD) selama 14 tahun dari 1964 sebelum menamatkan perkhidmatan pada 1978 untuk bergiat aktif dalam politik.

Selepas insiden rusuhan kaum pada 13 Mei 1969, Tun Abdullah Ahmad Badawi diberi kepercayaan untuk berkhidmat di Majlis Gerakan Negara (MAGERAN) bagi membantu Tun Abdul Razak Hussein sebagai pengarah MAGERAN ketika itu.

Tun Abdullah Ahmad Badawi kemudiannya dinaikkan pangkat sebagai Ketua Pengarah di Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan serta seterusnya dilantik sebagai Timbalan Ketua Setiausaha di kementerian sama.

Sumber : Facebook Rasmi YBhg. Tan Sri Dr. Ali Hamsa

Tun Abdullah Ahmad Badawi dalam ucapan balasnya yang dibacakan Nori berkata penganugerahan berkenaan amat bererti baginya dan mengimbau pengalaman menyertai perkhidmatan awam pada 1964 selepas menamatkan pengajian di Universiti Malaya.

“Pengalaman dalam perkhidmatan awam sebagai pentadbir membantu menyiapkan diri saya sebagai pemimpin (selepas menyertai politik),” katanya.

Tun Abdullah Ahmad Badawi turut menasihatkan seramai 377 PTD muda yang menerima diploma hari ini supaya tidak ingkar amanah dan tidak terlibat dengan salah laku terutamanya menyebarkan maklumat yang tidak sahih dalam media sosial.

— BERNAMA