Skip to main content

INTAN Royal Talk 2017

Majlis INTAN Royal Talk 2017 telah berlangsung di  Institut Tadbiran Awam Negara (INTAN), Bukit Kiara, Kuala Lumpur pada 9 Ogos 2017 yang lepas. Titah ucapan telah disampaikan oleh Yang Maha Mulia Tengku Dr. Muhammad Fa-Iz Petra Ibni Sultan Ismail Petra, Pemangku Raja Kelantan yang bertemakan Simbiosis Raja dan Rakyat.

Seramai 240 orang kadet Diploma Pengurusan Awam (DPA) 2017 telah menghadiri majlis tersebut. Kehadiran kadet-kadet berikut adalah merupakan sebahagian daripada Modul Pengurusan Majlis Diploma Pentadbiran Awam. Ketibaan Yang Maha Mulia Tengku Dr. Muhammad Fa-Iz Petra Ibni Sultan Ismail Petra telah disambut oleh beberapa peserta kadet DPA 2017 di hadapan Auditorium INTAN, Bukit Kiara.

Ucapan alu-aluan telah disampaikan oleh Ketua Setiausaha Negara, Yang Berbahagia Tan Sri Dr. Ali Hamsa yang bertindak sebagai tuan rumah pada majlis tersebut. Dalam ucapannya beliau menerangkan tentang kepentingan institusi beraja.

Majlis kemudiannya diteruskan dengan titah ucapan amanat oleh Pemangku Raja Kelantan, Yang Maha Mulia Tengku Dr. Muhammad Fa-Iz Petra Ibni Sultan Ismail Petra. Antara titah baginda ialah Raja hendaklah berlapang dada, berfikiran terbuka, menimbang dan mengimbang rintihan serta perasaan warga dalam usaha membantu ke arah membina warga yang berpadu lagi bersatu.

“Dengan berkecuali dalam keadaan berlakunya krisis, institusi Raja berupaya memberi nasihat, teguran dan pandangan yang mencerminkan keadilan tanpa memihak,” titah baginda. Dengan itu, peranan institusi Raja dapat diterima secara baik dan dengan hati terbuka dalam mendamaikan sebarang perselisihan antara pihak-pihak terlibat, titah baginda.

Pemangku Raja Kelantan juga bertitah sebagai payung negara, institusi Raja wajib memberi naungan secara saksama kepada setiap warga tanpa mengira kaum dan agama.

“Raja merupakan simbol penyatuan negara yang melibatkan setiap warga secara inklusif tanpa mengira kaum, tanpa mengira agama dan tanpa mengira kabilah politik”, titah baginda.

Majlis kemudiannya berakhir dengan keberangkatan baginda Yang Maha Mulia Tengku Dr. Muhammad Fa-Iz Petra Ibni Sultan Ismail Petra ke Dewan Santapan dengan diiringi oleh beberapa pegawai INTAN dan peserta kadet PTD 2017.

Penyertaan Peserta DPA Dalam Larian Obor Kuala Lumpur 2017

Seramai 81 orang peserta Program Diploma Pascasiswazah Pengurusan Awam (DPA) INTAN Bil.1/2017 telah menyertai program Larian Obor Kuala Lumpur 2017 di Menara Kuala Lumpur sempena Sukan SEA ke-29 dan Sukan Para ASEAN ke -9 pada 6 Ogos, 2017 yang lepas.

Program ini dianjurkan oleh Jabatan Belia dan Sukan WP Kuala Lumpur  untuk memberi ruang kepada penduduk di Malaysia, seramai yang boleh, untuk terlibat dalam temasya sukan ini, selari dengan tema Bangkit Bersama KL2017 yang mementingkan perpaduan dan semangat kekeluargaan rakyat dan komuniti Asia Tenggara.

Antara beberapa Kadet yang sempat bergambar dengan Menteri Belia Dan Sukan, YB Bhg Jen Khairy Jamaludin

Para peserta telah bersama- sama kesemua peserta larian seperti Team Malaysia, JPJ Wilayah Persekutuan telah berkumpul di Tangki Air Syabas Menara KL, yang merupakan check point yang terakhir untuk Laluan 1. Laluan ini bermula dari Suria KLCC dan akan melalui 6 check points iaitu Menara Naza, Pavilion, Jalan Raja Chulan, Menara Prudential, Muzium TM, Tangki Air Syabas Menara KL dan berakhir di Lobi Menara KL.

Dua larian obor telah berlangsung di check point ke-6 iaitu larian obor yang telah bermula di Suria KLCC dan juga larian obor selepas penerjunan obor Gimik ‘Base Jump’ dari puncak Menara KL.

Penerjunan obor Gimik ‘Base Jump’ diketuai oleh KSU Kementerian Belia dan Sukan, YBhg Dato’ Lokman Hakim Bin Ali dan disambut oleh YB Brig Jen Khairy Jamaludin, Menteri Belia dan Sukan berserta dengan kehadiran peserta – peserta larian.

Bersama Team Malaysia selesai larian obor bagi Gimik ‘ Base Jump’ di Lobi Menara KL

Kesemua 81 orang peserta 2017 telah menyertai larian obor (Penerjunan Obor Gimik) yang diketuai Dato’ Lokman menuju ke perkarangan lobi Menara KL sejauh 1km.

Peserta – peserta larian disambut sewaktu penyerahan obor oleh Dato’ Lokman kepada YBhg Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri Haji. Mohd Amin Nordin Bin Abdul Aziz di lobi Menara KL.

 Peserta turut memberi sokongan kepada rombongan larian obor yang telah bermula dari Suria KLCC, untuk mengakhiri Laluan 1 di Menara Kuala Lumpur.

Penyertaan ini merupakan sumbangan pertama peserta 2017 kepada kejayaan program kebangsaan untuk memberi semangat dan menunjukkan sokongan yang penuh kepada para atlet yang akan bertanding pada Sukan SEA ke-29 serta Sukan Para ASEAN ke-9

Majlis Amanat KPPA

Majlis Amanat Ybhg. Dato’ Sri Zainal Rahim Seman, Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (KPPA) bersama-Sama Peserta Program DPA INTAN 2017 telah berlangsung pada 2 Ogos 2017 yang lalu (Rabu), bertempat di Dewan Serbaguna, INTAN Bukit Kiara, Kuala Lumpur.

Turut sama menghadiri majlis ini adalah YBrs. Dr. Mohd Gazali bin Abas, Pengarah Institut Tadbiran Awam Negara (INTAN).

Majlis amanat KPPA kali ini amat unik kerana ia mengetengahkan konsep dialog terbuka persis dialog Transformasi Nasional 2050 (TN50). Justeru hadirin telah berpeluang untuk berinteraksi bersama Ybhg. Dato’ Sri Zainal Rahim Seman secara terus menerusi perkongsian pandangan dan soal jawab sepanjang majlis ini berlangsung.

Selain itu, seramai 390 orang peserta kadet DPA 2017 yang hadir telah diseru untuk teguh bersatu disamping meletakkan semangat kerjasama berpasukan yang tinggi. Para peserta juga diseru untuk meletakkan kesetiaan kepada raja dan negara, serta berkhidmat kepada kerajaan yang memerintah atau “Government of the day” tanpa berbelah-bagi.

Ybhg. Dato’s Sri Zainal Rahim turut sempat berinteraksi dengan peserta khusus berkenaan aspirasi mereka serta pandangan mereka terhadap Transformasi Nasional 2050 (TN50) memandangkan mereka bakal mencorakkan ekosistem pentadbiran negara sepanjang tempoh pelaksanaannya.

Akhir sekali, beliau turut berpesan kepada para kadet agar tidak meninggi diri apabila menjawat jawatan sebagai penjawat awam kelak, sebaliknya kekal optimis dalam memberikan perkhidmatan yang terbaik kepada rakyat bagi pihak kerajaan. Memetik kata-kata khalifah Umar Al-Khattab, “Ingatlah, saya melantik anda bukan untuk memerintah rakyat, tapi agar anda melayani mereka. Anda harus memberi contoh dengan tindakan baik sehingga rakyat dapat meneladani anda”.

Majlis Amanat Pengarah INTAN

Pada sebelah petangnya pula (28 Julai 2017, Jumaat), para peserta Program Diploma Pascasiswazah Pengurusan Awam (DPA) telah menghadiri Majlis Amanat Pengarah INTAN, YBrs. Dr. Mohd Gazali bin Abas. Majlis ini telah diadakan di Auditorium Institut Tadbiran Awam Negara (INTAN), Bukit Kiara, Kuala Lumpur.

Turut sama memeriahkan majlis ini adalah YBrs. Dr. Razali bin Ab. Malik, Ketua Kluster Pembangunan Profesional dan Etika (KPPE). Selain menjadi platform suai kenal antara pengarah INTAN bersama 391 orang peserta program DPA 2017, majlis ini turut menyaksikan YBrs. Dr. Mohd Gazali memberikan amanat beliau yang penuh dengan peringatan dan nasihat.

Antara lain, beliau menasihati para peserta program DPA 2017 supaya mempersiapkan diri sewajarnya dengan elemen-elemen A.K.S.A.R.A yang meliputi aspek Attitude (Sikap), Knowledge (Pengetahuan), Skills (Kemahiran), Adaptability (Kebolehsesuaian), Resilience (Daya Tahan) dan Agility (Ketangkasan).

Selain menekankan kepentingan integriti dan amalan yang jujur dan telus dalam pekerjaan, YBrs. Dr. Mohd Gazali turut mengingatkan para peserta program DPA 2017 agar mengikuti setiap peraturan yang telah ditetapkan oleh pihak Sub-Kluster Pembangunan Modal Insan (SKPMI). Justeru para peserta perlu menunjukkan tahap disiplin yang tinggi sepanjang melalui fasa sebagai kadet selama 10 bulan ini.

Majlis Amanat Pengerusi SPA

Pada 28 Julai 2017 yang lalu (Jumaat), YBhg. Tan Sri Arpah binti Abdul Razak, Pengerusi SPA telah menghadiri Majlis Amanat Pengerusi SPA bersama peserta Program Diploma Pascasiswazah Pengurusan Awam (DPA) atau Kadet PTD Tahun 2017.

Majlis yang telah berlangsung pada sebelah pagi di Auditorium Institut Tadbiran Awam Negara (INTAN), Bukit Kiara, Kuala Lumpur ini turut dihadiri oleh YBrs. Dr. Mohd Gazali bin Abas, Pengarah INTAN, YBhg. Dato’ Dr. Syed Omar Sharifuddin bin Syed Ikhsan, Timbalan Pengarah Kanan INTAN, YBrs. Tuan Haji Abdullah bin Tahir, Timbalan Setiausaha Pengambilan SPA dan Puan Haslina binti Ahmad, Setiausaha Bahagian Pengambilan SPA.

Seramai 391 orang peserta kursus DPA telah menghadiri majlis ini dan kelihatan amat teruja untuk mendengar amanat dari Ybhg. Tan Sri Arpah. Antara lain intipati ucapan beliau menyentuh  berkenaan pentingnya untuk setiap penjawat awam atau bakal penjawat awam untuk menunjukkan taat setia yang tidak berbelah-bahagi kepada Kerajaan.

Selain itu, Ybhg. Tan Sri Arpah turut menggesa ke semua 391 peserta DPA untuk menyemai sifat integriti dalam diri masing-masing bermula dari saat mereka menjejakkan kaki ke INTAN. Sifat ini perlu diteruskan hingga menjawat jawatan dalam Perkhidmatan Awam kelak kerana sifat integriti ini sentiasa menjadi faktor utama ke atas kegemilangan atau kejatuhan sesebuah organisasi – Hasrizul Hashim