Skip to main content

INTAN Royal Talk 2017

Majlis INTAN Royal Talk 2017 telah berlangsung di  Institut Tadbiran Awam Negara (INTAN), Bukit Kiara, Kuala Lumpur pada 9 Ogos 2017 yang lepas. Titah ucapan telah disampaikan oleh Yang Maha Mulia Tengku Dr. Muhammad Fa-Iz Petra Ibni Sultan Ismail Petra, Pemangku Raja Kelantan yang bertemakan Simbiosis Raja dan Rakyat.

Seramai 240 orang kadet Diploma Pengurusan Awam (DPA) 2017 telah menghadiri majlis tersebut. Kehadiran kadet-kadet berikut adalah merupakan sebahagian daripada Modul Pengurusan Majlis Diploma Pentadbiran Awam. Ketibaan Yang Maha Mulia Tengku Dr. Muhammad Fa-Iz Petra Ibni Sultan Ismail Petra telah disambut oleh beberapa peserta kadet DPA 2017 di hadapan Auditorium INTAN, Bukit Kiara.

Ucapan alu-aluan telah disampaikan oleh Ketua Setiausaha Negara, Yang Berbahagia Tan Sri Dr. Ali Hamsa yang bertindak sebagai tuan rumah pada majlis tersebut. Dalam ucapannya beliau menerangkan tentang kepentingan institusi beraja.

Majlis kemudiannya diteruskan dengan titah ucapan amanat oleh Pemangku Raja Kelantan, Yang Maha Mulia Tengku Dr. Muhammad Fa-Iz Petra Ibni Sultan Ismail Petra. Antara titah baginda ialah Raja hendaklah berlapang dada, berfikiran terbuka, menimbang dan mengimbang rintihan serta perasaan warga dalam usaha membantu ke arah membina warga yang berpadu lagi bersatu.

“Dengan berkecuali dalam keadaan berlakunya krisis, institusi Raja berupaya memberi nasihat, teguran dan pandangan yang mencerminkan keadilan tanpa memihak,” titah baginda. Dengan itu, peranan institusi Raja dapat diterima secara baik dan dengan hati terbuka dalam mendamaikan sebarang perselisihan antara pihak-pihak terlibat, titah baginda.

Pemangku Raja Kelantan juga bertitah sebagai payung negara, institusi Raja wajib memberi naungan secara saksama kepada setiap warga tanpa mengira kaum dan agama.

“Raja merupakan simbol penyatuan negara yang melibatkan setiap warga secara inklusif tanpa mengira kaum, tanpa mengira agama dan tanpa mengira kabilah politik”, titah baginda.

Majlis kemudiannya berakhir dengan keberangkatan baginda Yang Maha Mulia Tengku Dr. Muhammad Fa-Iz Petra Ibni Sultan Ismail Petra ke Dewan Santapan dengan diiringi oleh beberapa pegawai INTAN dan peserta kadet PTD 2017.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *