Skip to main content

Majlis Deklamasi Lakon Lagenda Raja Lanun

Disediakan oleh: Fitri Affendi bin Mustafa.

Kuala Lumpur, 8 September 2017 – Bertempat di Dewan Serbaguna INTAN Bukit Kiara, telah berlangsung sebuah majlis Deklamasi Lakon Lagenda Raja Lanun yang dipersembahkan oleh Bahtera Production. Majlis bermula pada pukul 8.00 malam dan berakhir pada pukul 10.30 malam. Turut hadir YBrs. Dr. Mohd Ghazali bin Abas, Pengarah INTAN bersama tetamu – tetamu kehormat yang lain.

Majlis ini dimeriahkan lagi dengan kehadiran peserta Program Diploma Pascasiswazah Pengurusan Awam (DPA) INTAN Bil.1/2017 daripada Kumpulan 1,2 dan 3 seramai 240 orang. Pengesahan kehadiran para peserta yang hadir pada malam tersebut dibuat dengan cara mengimbas kad QR yang telah diberikan semasa pendaftaran. Setelah semua tetamu jemputan hadir, majlis dimulakan dengan nyanyian Lagu Negaraku dan Lagu DPA.

Pengarah Program bersama-sama dengan Pengarah INTAN, Timbalan Pengarah INTAN dan Ketua Kluster Pembangunan Profesional dan Etika.

Majlis diteruskan dengan kata-kata aluan dan pembukaan majlis oleh pengarah program, iaitu saudara Mohamad Saiful Azri bin Mohd Fouzi. Majlis yang dianjurkan merupakan tugasan untuk Kumpulan 4 dan 5 bagi Modul Pengurusan Majlis. Seramai 160 orang peserta telah terlibat secara langsung dan tidak langsung dalam majlis tersebut.

Dekon Lagenda Raja Lanun mengisahkan seorang mahasiswa yang kurang patriotik terhadap Negara terjumpa sebuah buku yang mengubah persepsinya supaya lebih menghargai perpaduan yang dikecapi selama ini. Buku yang dibacanya itu bertajuk Lagenda Raja Lanun yang mengisahkan kisah mitos seorang Laksamana Awang Raja Lanun, iaitu pahlawan dan pembesar yang disegani di sebuah negeri Melayu.

Laksamana Awang Raja Lanun pada asalnya menjadi kesayangan Sultan Iskandar Shah dan dicintai oleh Puteri Cendera Dewi namun telah diusir keluar dari negeri tersebut akibat perbuatan khianat dan sihir yang dilakukan oleh Bendahara Tun Gangsa Gila Kuasa dan Temenggung Masut Kaki Hasut yang mencemburuinya.

Deklamasi lakon ini diteruskan dengan babak Laksamana Awang Raja Lanun yang bersumpah untuk mencari penawar bagi sihir yang dideritainya dan membalas dendam terhadap perbuatan jahat Bendahara Tun Gangsa Gila Kuasa dan Temenggung Masut Kaki Hasut.

Laksamana Awang Raja Lanun, Sayyida Al-Hurra serta Kanhoji Angria sedang berbincang setelah Laksamana Awang Raja Lanun dipulihkan oleh Pendeta.

Dalam pengembaraan Laksamana Awang Raja Lanun untuk mencari penawar bagi sihir tersebut, beliau telah bertemu dengan lanun-lanun dari pelbagai negara dan bangsa yang turut menjadi mangsa penganiyaan seperti Laksamana. Dengan bantuan seorang pendeta yang dapat melihat masa hadapan Bendahara Tun Gangsa Gila Kuasa dan Temenggung Masut Kaki Hasut, Laksamana Awang Raja Lanun telah sembuh kembali dan dipersiapkan dengan senjata-senjata dari masa hadapan.

Laksamana Awang Raja Lanun dan para lanun lain yang menjadi rakan seperjuangannya telah kembali ke negeri asal Laksamana Awang Raja Lanun untuk membalas dendam terhadap kejahatan Bendahara Tun Gangsa Gila Kuasa dan  Temenggung Masut Kaki Hasut.

Laksamana Awang Raja Lanun bersama – sama lanun – lanun yang lain datang menyerang Bendahara Tun Gangsa Gila Kuasa dan Temenggung Masut Kaki Hasut di istana untuk membalas dendam. Persatuan lanun – lanun juga disertai oleh pelaut-pelaut yang tidak berpuas hati dengan Bendahara Tun Gangsa Gila Kuasa dan Temenggung Masut Kaki Hasut yang mengenakan cukai yang tinggi kepada penduduk kampung sehingga membebankan dan menjejaskan pendapatan mereka.

Bendahara Tun Gangsa Gila Kuasa dan Temenggung Masut Kaki Hasut telah mengerahkan hulubalang – hulubalangnya menyerang laksamana semula namun tidak berjaya kerana Laksamana telah mempersiapkan dengan alat perlindungan diri. Maka, berlakulah pertempuran antara hulubalang – hulubalang Bendahara Tun Gangsa Gila Kuasa dan Temenggung Masut Kaki Hasut dengan Laksamana Awang Raja Lanun bersama – sama dengan lanun – lanun yang lain.

Lanun-lanun sedang bersuka ria di rumah persatuan lanun.

Akhirnya, Laksamana Awang Raja Lanun berjaya menumpaskan Bendahara Tun Gangsa Gila Kuasa dan Temenggung Masut Kaki Hasut dalam pertempuran tersebut. Namun begitu, salah seorang sahabat Laksamana Awang Raja Lanun yang banyak membantu beliau menyembuhkan sihirnya telah terbunuh dalam pertempuran tersebut sehingga membuatkan Laksamana berasa sangat sedih. Setelah itu, dekon bersambung dengan adegan mahasiswa yang sedang membaca buku Lagenda Raja Lanun tadi tersedar daripada perjalanan cerita.

Terdapat beberapa senjata yang diperkenalkan sepanjang deklamasi lakon ini berlangsung termasuklah seperti “terakol” iaitu senjata api berlaras pendek seakan pistol dan  “istinggar” iaitu senjata api yang panjang yang menggunakan tali sebagai pencucuh.

Gelaran bagi watak – watak didalam deklamasi lakon juga diperkenalkan. Antaranya, Kanhoji Angria yang merupakan salah seorang ketua angkatan Maratha Navy yang tersohor pada abad ke-18 di India dan digelar sebagai hero rakyat kerana keberanian beliau menentang tentera laut British dan Laksamana Awang yang merupakan tokoh pahlawan Melayu yang dikenali sebagai “Enrique”, “Henry The Black”, “Henrich”, “Ariberto”, “Espinosa” dan pelbagai lagi gelaran mengikut sebutan sesuatu bangsa.

Semua tetamu jemputan dan para peserta dijemput untuk menikmati minum malam yang telah disediakan sebelum majlis bersurai. Semua peserta telah berkumpul semula di dewan untuk mendengar maklum balas daripada Perunding Latihan mengenai pengurusan majlis yang telah berlangsung. Kemudian, semua peserta bertungkus lumus mengemas dan membersihkan dewan supaya dewan berada dalam keadaan asal sebelum semua para perserta bersurai.

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *