Skip to main content

INTRADE – Kadet PTD Selami Kehidupan

KUALA LUMPUR 19 April – Program Submodul Inisiatif Transformasi Desa (INTRADE) di bawah Program Diploma Pascasiswazah Pengurusan Awam Institut Tadbiran Awam Negara (DPA INTAN) tahun 2017 berjaya memberi pendedahan kepada para peserta untuk lebih memahami corak kehidupan dan de­nyut nadi masyarakat luar bandar.

Dalam program tersebut, seramai 238 peserta Program DPA INTAN 2017 yang juga dikenali sebagai Kadet Pegawai Tadbir dan Diplomatik (PTD) menjalankan pelbagai aktiviti kemasyarakatan di tiga buah perkampungan di daerah Kemaman sejak 8 April lalu.

Perunding Latihan, Kluster Pembangunan Profesional dan Etika INTAN, Zul Al Rashid Mohammad berkata, program kemasyarakatan tersebut dapat membina jaringan perhubungan yang berkesan antara Kadet PTD dengan pemimpin masyarakat setempat, pegawai kerajaan dan orang awam.

Menurutnya, pelaksanaan Submodul INTRADE itu bertujuan memberi pendedahan kepada para peserta berhubung tatacara pengurusan dan pentadbiran perkhidmatan awam di peringkat negeri dan daerah dari perspektif silang budaya.

“Selain itu, para peserta juga dapat menyelami keunikan cara hidup sosioekonomi dan kepelbagaian budaya masyarakat di peringkat akar umbi melalui program-program kemasyarakatan yang dijalankan,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini, hari ini.

Para peserta telah menjalankan program kemasyarakatan di tiga buah kampung iaitu Kampung Ayer Jerneh, Kampung Pasir Gajah dan Kampung Kuala Kemaman.

Antara aktiviti yang dijalankan sepanjang 11 hari itu adalah karnival mega, gotong-royong perdana, program motivasi pelajar serta menterjemah batu bersurat perkampungan Hainan.

Turut diadakan program ubah suai perpustakaan Sekolah Kebangsaan Kampung Pasir Gajah, sumbangan makanan kepada golongan asnaf serta pembinaan mercu tanda Kampung Kuala Kemaman.

Sementara itu, ketika menutup program berkenaan, Pegawai Daerah dan Pentadbir Tanah Kemaman, Mohd. Zahari Md. Azhar mengucapkan terima kasih kepada pihak INTAN kerana mengadakan program tersebut di daerah tersebut. (Sumber : Utusan Malaysia)

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *