INTAN KIARA 2 Nov. – Aspirasi untuk menjadi kumpulan contoh yang mempunyai ciri-ciri proaktif, berdisiplin, kebersamaan, saling menyokong kearah keajayaan, dan pentadbiran kumpulan yang tersusun sepanjang bulan September yang lepas telah menobatkan Invictus sebagai penerima Anugerah Kumpulan Contoh Bulanan – September yang julung kalinya diperkenalkan oleh Subkluster Pembangunan Modal Insan (SKPMI) INTAN. Anugerah tersebut telah disampaikan oleh Ybrs Dr Razali bin Ab. Malik, Ketua Kluster Pembangunan Profesional dan Etika pada satu majlis ringkas yang diadakan bersekali dengan riadah petang (Physical Training-PT) yang dihadiri oleh pegawai-pegawai daripada SKPMI dan keseluruhan kadet Neowangsa.
Secara umumnya, anugerah ini telah diperkenalkan oleh pihak SKPMI bagi menilai kumpulan yang telah memenuhi kriteria tertentu yang telah ditetapkan. Antara kriteria tersebut adalah disiplin, kehadiran, adab dan sahsiah, kekemasan bilik kuliah dan penjagaan fasiliti serta sumbangan atau daya usaha yang dipamerkan oleh setiap kumpulan. Bagi kumpulan Invictus, setiap modul yang dihadiri dan aktiviti yang dirancang telah mendapat kerjasama yang amat erat daripada kadet Invictus. Kadet turut menerima maklum balas positif daripada pihak tenaga pengajar di atas sikap proaktif yang ditonjolkan sewaktu sesi kuliah. Sikap suka bertanya dan memberi pandangan ketika diminta oleh para tenaga pengajar telah mewujudkan suasana perkongsian ilmu yang interaktif dan berkesan dalam melihat tahap pemahaman para kadet terhadap sesuatu tajuk dan topik yang dibentangkan. Hal in sekaligus memudahkan para tenaga pengajar untuk memberikan latih amal yang bersesuaian dan penerangan yang lebih spesifik untuk menerangkan dengan lebih jelas dan dapat difahami oleh para kadet.
Selain itu, dengan sokongan daripada JK bulan September, majoriti kadet Invictus telah berusaha keras untuk penambahbaikan sahsiah untuk sentiasa memastikan tahap disiplin mereka dalam keadaan yang paling baik. Kadet menepati masa bagi setiap slot atau aktiviti yang dijalankan dan turut menerima pujian daripada tenaga pengajar Modul Pengurusan Kewangan Awam atas kehadiran para kadet yang sangat awal pada hari pengenalan modul. Aktiviti-aktiviti dalam kumpulan yang telah dilaksanakan oleh JK bulan September seperti aktiviti potluck, sesi santai boling, gotong-royong membersihkan sekitar DSG dan pembelian jam dinding untuk kegunaan di DSG serta sesi bersama PLK dan PL Invictus telah banyak membantu para kadet yang dilihat agak pasif pada bulan yang lalu telah banyak menonjol dan memberikan kerjasama terbaik dalam memastikan kelancaran dan kejayaan setiap aktiviti yang telah dirancang. Hal ini telah terbukti dengan kerjasama erat yang telah terjalin di antara kadet Invictus dalam membantu satu sama lain untuk melaksanakan segala tugasan, mematuhi arahan-arahan pentadbiran dengan lebih baik dan sikap bertolak ansur sesama kadet.
Di samping aktiviti dalaman kumpulan, kadet Invictus turut melibatkan diri dengan aktif dalam program anjuran SKPMI dan MPP seperti Forum Diraja di Istana Negara, Malam Kemuncak Kemerdekaan, Perhimpunan Mingguan, Kelas Bahasa Inggeris dan Bahasa Mandarin, Kuliah Fiqh serta Kelas Pengajian Al-Quran di Surau Ar-Raudhah. Melalui penyertaan ini telah memberikan kadet Invictus pengalaman berharga dan juga meningkatkan pengetahuan serta kemahiran praktikal bagi memenuhi aspirasi pelaksanaan program DPA iaitu “AKSARA – Attitude, Knowledge, Skills, Adaptability, Resilience, Agility”.
Pada majlis tersebut juga telah disampaikan satu lagi anugerah iaitu Anugerah Kadet Contoh Bulan September kepada Saudara Muhammad Afifi Shakir Bin Mahmood Sabri yang juga merupakan Pengurus JK September Kumpulan Invictus. Pemilihan beliau sebagai penerima anugerah ini telah diputuskan oleh pihak SKPMI berdasarkan prestasi akademik dan sahsiah, penglibatan serta sumbangan yang telah dilaksanakan sepanjang bulan September yang lalu. Temubual ringkas bersama beliau sejurus selesai majlis sempat beliau berkongsi tentang resipi yang menjadi pegangan dan mungkin dapat dicontohi oleh rakan kadet Neowangsa yang lain. Antaranya adalah beliau menekankan kepentingan sifat “Qawiyyul Amin” seperti yang dinukilkan dalam Al-Quran, Surah Al-Qasas, Ayat 26, yang bermaksud kuat dan amanah. Beliau percaya bahawa dua sifat asas ini penting untuk dimiliki dan dijiwai oleh setiap pemimpin pada hari ini terutama warga kadet DPA 2017 agar agenda transformasi negara betul-betul dapat dilaksanakan dan dikekalkan hingga mencapai ketamadunan hebat pada tahun 2050 nanti. Sesungguhnya beliau amat bersyukur kepada Allah dengan penganugerahan tersebut dan berharap dapat meneruskan sumbangan yang lebih banyak baik kepada pihak SKPMI dan INTAN mahupun keseluruhan rakan kadet Neowangsa.