PUTRAJAYA, 3 Januari : YBhg. Dato’ Seri Ir. Dr. Zaini Ujang, Ketua Setiausaha (KSU) Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air (KeTTHA) telah bersama sebahagian peserta Program Diploma Pascasiswazah Pengurusan Awam (DPA) INTAN atau lebih dikenali sebagai Kadet PTD dalam sesi riadah di sekitar Putrajaya Wetlands di sini hari ini.
Sesi riadah ini merupakan salah satu aktiviti berkala yang dirancang dan dilaksanakan oleh KSU KeTTHA bersama-sama pihak pengurusan tertinggi dan kumpulan sokongan KeTTHA. Sesi bermula pada jam 5.oo petang dimana para peserta dibawa mengelilingi Putrajaya Wetlands dengan berjalan kaki. Penerangan secara ringkas telah diberikan oleh Ybhg. Dato’ Seri KSU berkaitan bagaimana Putrajaya Wetlands ini berfungsi sebagai water catchment dan juga rekabentuknya yang mempunyai 3 peringkat yang berbeza kedalamannya.
Mengadaptasi konsep 1 Kindness A Day, para peserta juga mengambil peluang mengutip sampah-sarap yang terdapat di sepanjang laluan. Aktiviti yang begitu bermakna ini membuatkan para peserta DPA INTAN 2017 terasa amat bertuah kerana bukan sahaja ilmu serta maklumat yang disampaikan oleh Ybhg. Dato’ Seri KSU merupakan perkara yang baharu, bahkan pengalaman turun beriadah bersama beliau merupakan satu sesi engagement yang cukup baik bagi peserta DPA bersama kementerian dalam menjalani submodul Strategic Partnership Programme (SPP).
SPP merupakan submodul bagi modul Strategic Internship Programme (SIP) yang dijalankan selama 5 minggu bermula pada 26 Disember 2017 hingga 26 Januari 2018. Ianya melibatkan 238 peserta bagi siri pertama yang ditempatkan di 25 kementerian bagi memberi pendedahan awal kepada para peserta DPA terhadap budaya kerja perkhidmatan awam di kementerian dan agensi dibawahnya.