Skip to main content

Konsep penerbangan, hiasi Malam Kembara Budaya

Program “Malam Kembara Budaya” telah berlangsung di Dewan Serbaguna (DSG), Institut Tadbiran Awam (INTAN), Bukit Kiara pada 18 Ogos 2017. Program yang dijalankan berlatarbelakangkan suasana penerbangan ini bertemakan “Perjalanan Sejarah dan Budaya”. Sepanjang penerbangan ini, para jemputan telah disajikan dengan simbolik sejarah dan budaya Negeri Sembilan, Melaka dan Johor iaitu negeri-negeri yang direntasi oleh pesawat “Neowangsa Airlines” sepanjang penerbangan dari Kuala Lumpur ke Johor Bahru.

Program “Malam Kembara Budaya” diadakan selaras dengan pelaksanaan Modul Pengurusan Majlis bagi Kumpulan 1, 2 & 3 yang melibatkan sebanyak 240 orang peserta. Kumpulan ini juga dikenali sebagai “Neowangsa Production”. Program tersebut diserikan lagi dengan kehadiran Yang Berusaha Pengarah INTAN Dr Mohd Gazali bin Abas diiringi oleh Perunding- Perunding Latihan Kanan, Perunding Latihan Sub-kluster Pembangunan Modal Insan (SKPMI).

Kekangan masa yang dihadapi oleh ‘Neowangsa Production’ tidak menjadi masalah besar kerana mereka mampu menukarkan DSG ke hiasan dalaman sebuah kapal terbang dengan jayanya. AJK Tugas-tugas Khas telah berpakaian ibarat pramugara serta pramugari dalam penerbangan. Malah sepanjang ‘penerbangan’ , tetamu VIP disajikan dengan 3 kuih yang melambangkan simbolik 3 negeri , manakala bagi tetamu lain disajikan dengan sajian ringan.

Penerbangan yang bermula dengan kehadiran tetamu kehormat itu dimulakan dengan gimik keselamatan dari ketua kabin serta anak-anak kapal. Gimik seperti kapal terbang yang sedang take-off­ juga mencuit hati para penonton dengan diserikan kesan bunyi seperti di dalam kapal terbang. Malah dari pintu utama DSG, tetamu kehormat perlu check-in dan melalui pemeriksaan keselamatan dan kastam.

Suasana DSG yang diubah menjadi dalaman sebuah kapal terbang.

Persembahan Negeri Sembilan dimulakan dengan perarakan masuk pengantin ke hadapan dewan yang dijulang oleh 8 pengapit lelaki. Gerbang budaya Minangkabau menyerikan pentas sebaik sahaja pengantin turun dari tandu. Persembahan itu disambung dengan tarian Endang dan tarian Lilin di mana ia juga disertai oleh kedua-dua pengantin. Persembahan negeri Melaka pula berasaskan keraian Hari Keputeraan Sultan Melaka.  Budaya negeri Melaka telah ditonjolkan melalui persembahan tarian Dondang Sayang dan Joget Melaka serta diselitkan dengan pantun dari Bendahara. Pada saat ini, pentas dihiasa ibarat suasana mini balairong istana dengan hulubalang dan dayang.

Usai kapten kapal terbang mengumumkan ‘pendaratan’ di Lapangan Terbang Senai, Johor Bahru DSG dikejutkan dengan riuh rendah dari penari kuda kepang yang memulakan persembahan negeri Johor. Sketsa dari kumpulan negeri Johor menceritakan mengenai budaya majlis bertandang di negeri Johor. Seterusnya , majlis bertandang itu diserikan dengan tarian Zapin.

Persembahan tarian Kurik Kundi ala flashmob pula menjadi persembahan penutup bagi program “Malam Kembara Budaya” . Selepas sesi bergambar bersama pengarah INTAN, pengarah program serta Timbalan Ketua Kluster SKPMI, tetamu kehormati disajikan dengan makanan ringan di luar DSG.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *