Skip to main content

Indahnya Hidup Bertuhan

Karya : Muhammad Hadi

Sahabat yang ku kasihi, nukilan ini daku hadiahkan untuk renungan kita bersama. Tiadalah yang lebih elok, nak dibanding dengan apa yang diberi Tuhan Yang Maha Satu. Tiadalah yang lebih buruk, nak dibanding dengan kelemahan diri ku ini. Fahamilah nukilan ku ini. Moga menjadi manfaat buat sahabat sekalian.

Sahabat yang dikasihi,

Pernahkah kita berfikir bagaimana terciptanya alam semesta ini? Bagaimana terciptanya bumi yang kita diami ini? Bagaimana terciptanya sungai yang mengalir deras, diambil manfaat darinya untuk kehidupan kita? Bahkan, bagaimana terciptanya insan di muka bumi yang terbentang luas?

Tidakkah mereka memperhatikan keadaan unta, bagaiman ia diciptakan?{17} Dan keadaan langit, bagaimana ia ditinggikan binaannya?{18} Dan keadaan gunung – ganang, bagaimana ia ditegakkan?{19} Dan keadaan bumi, bagaimana ia dihamparkan?{20}” – Al Ghaasyiyah (17-20)

 

Awaludin Ma’rifatullah

Awal agama adalah mengenal Allah. Dialah Maha Pencipta dan Maha Berkuasa atas setiap penciptaan-Nya. Fitrah beragama adalah lumrah bagi setiap insan. Hanya kepada Tuhan diletakkan segala pengharapan, keampunan serta perlindungan. Kitalah hamba Tuhan di muka bumi. Setiap hamba pasti mengenali siapakah tuannya. Kita adalah hamba kepada Pencipta alam, Dialah Tuhan Yang Maha Berkuasa atas setiap sesuatu, selayaknya Dia disembah dan diagungkan melebihi yang lain. Dialah Allah Al-Khaliq, Maha Pencipta.

“Sesungguhnya pada kejadian langit dan bumi, dan pada pertukaran malam dan siang, ada tanda – tanda (kekuasaan Allah) bagi orang – orang yang berakal.{190} (iaitu) orang yang menyebut dan mengingati Allah semasa mereka berdiri, duduk dan berbaring mengiring, dan mereka pula memikirkan tentang kejadian langit dan bumi (sambil berkata): Wahai Tuhan kami! Tidaklah engkau menjadikan semuanya ini dengan sia – sia, Maha Suci Engkau, maka peliharalah kami dari azab neraka {191}.” – Ali Imran (190-191)

Beruntunglah bagi mereka yang mengenal siapa Tuhan Pencipta Alam, kepada-Nya kita berserah diri, kepada-Nya kita memohon pertolongan, kepada-Nya juga kita memohon keampunan. Dialah Tuhan yang menciptakan sekalian alam, mengurniakan rezeki kepada setiap makhluk ciptaan-Nya. Hamba yang mengenal siapa Tuhannya, pasti memahami tugas dan tanggungjawab sebagai hamba.. Mencintai Tuhannya dengan penuh rasa kecintaan, melebihi perkara lain yang dimiliki. Selayaknya Tuhan berada di tempat yang pertama dalam hati kita kerana Dialah yang menciptakan kita dan melengkapkan kita dengan segala kurniaan nikmat.

 

Cinta Tuhan

Apa diharap padi di seberang,

Entahkan masak entahkan tidak,

Apa diharap kasihnya orang,

Entahkan sayang entahkan tidak.

Cinta Tuhan Cinta Hakiki. Cinta Tuhan Cinta Abadi. Nilai cinta Tuhan tidak setanding harga seisi dunia.

Sahabat,

Tiada salah mencintai sesama insan bahkan tidak sempurna iman seseorang sehingga dia mencintai saudaranya seperti dirinya sendiri. Namun sahabat, hakikat cinta Tuhan itu lebih berpasak pada suatu yang benar dan pasti. Tiadalah yang lain diharapkan selain dari cinta dan redha Tuhan membawa ke syurga. Carilah cinta manusia. Namun, harus diingatjangan sesekali cintamu kepada manusia melebihi cintamu kepada Tuhan Yang Esa serta Rasul-Nya.

Daripada Anas B. Malik R.A., Rasulullah S.A.W. bersabda, “Tiga perkara apabila terdapat dalam diri seseorang, ia merasai kemanisan iman; sesiapa yang cintanya kepada Allah dan Rasul melebihi cintanya kepada yang lain; sesiapa yang cintanya kepada orang lain hanya kerana Allah (dan bukan kerana tujuan duniawi); dan ia membenci kekufuran selepas Allah menyelamatkannya (dari kekufuran), sebagaimana bencinya akan dicampakkan ke dalam api neraka.” – Hadis Riwayat Muslim

Andai engkau tercari – cari cinta sejati, rupanya ia milik Ilahi. Jika engkau kecewa dengan cinta insani, percayalah pasti ada galang ganti. Tatkala kasih Tuhan makin menjauhi, pasti hidup tidak diberkati, kerana Dia pemilik cinta sejati.

 

Amar Ma’ruf Nahi Mungkar

Setelah mengenali siapa Tuhan yang sebenar dan mencintai Dia sepenuh hati, seharusnya kita sedar tugas dan tanggungjawab kita di sini. Hidup yang sementara ini, gunakanlah sebaik mungkin mencari bekal sebelum bertemu pemilik jiwa ini. Amar Ma’ruf Nahi Mungkar bermaksud mengajak manusia ke arah kebaikan dan mencegah manusia daripada berbuat kejahatan. Tugas ini merupakan amanah yang perlu dipikul oleh setiap insan yang bercita – cita mendapatkan redha Ilahi. Setiap Muslim itu adalah bersaudara dan menjadi tanggungjawab kita semua untuk saling menasihati demi kebaikan diri dan saudara Muslim itu sendiri.

Dan hendaklah ada di antara kamu satu puak yang menyeru kepada kebajikan, dan menyuruh berbuat segala perkara yang baik, serta melarang daripada segala yang salah. Dan mereka yang demikian ialah orang yang berjaya.{104}” – Ali Imran (104)

Barangsiapa yang melaksanakan tanggungjawab Amar Ma’ruf Nahi Mungkar disebut sebagai orang yang berjaya. Merekalah penyambung tugas para Rasul bagi menyampaikan risalah yang benar ke seluruh pelosok alam supaya sekalian manusia dapat memahami ajaran Islam yang sebenar berpandukan Al-quran serta Hadis – hadis Nabi. Amanah yang dipikul ini, jika dilaksana dengan baik pasti mewujudkan suasana harmoni, tenang dan sentiasa diberkati malah dapat menjauhkan diri dari perkara – perkara yang tidak baik dan mengelakkan diri dari ditimpa musibah.

 


La Tahzan (Jangan Bersedih)

Kalau kamu tidak menolongnya (Nabi Muhammad) maka sesungguhnya Allah telah menolongnya (Nabi Muhammad), iaitu ketika kaum kafir mengeluarkannya dari negeri Mekah sedang ia salah seorang dari dua orang semasa mereka berlindung di dalam gua, ketika ia berkata kepada sahabatnya: Jangan kamu berdukacita, sesungguhnya Allah bersama kita. Maka Allah turunkan ketenangan kepadanya (Nabi Muhammad) dan menguatkannya dengan bantuan tentera malaikat yang kamu tidak melihatnya. Dan Allah menjadikan seruan orang kafir terkebawah, dan kalimah Allah tertinggi; dan Allah Maha Kuasa lagi Maha Bijaksana.{40}” – At – Taubah (40)

 

Allah S.A.W. tidak menyuruh hambanya bersedih, meraung, meratapi setiap permasalahan yang kita hadapi. Tuhan mengingatkan kita bahawa Dia sentiasa ada bersama dengan kita sama ada di waktu senang ataupun susah dengan syarat kita sentiasa mengingati-Nya pada setiap masa. Setiap kesusahan pasti ada kesenangan. Tatkala kita diuji dengan sesuatu masalah, kita mula merasakan bebanan yang dipikul seolah – olah kita tidak mampu keluar dari masalah tersebut. Namun kita lupa pada semua ujian yang telah kita lalui sebelum ini, di waktu kita memohon bantuan dari Tuhan Yang Maha Kuasa, “Ya Rabb, tolonglah aku. Ringankan lah bebanan ini. Keluarkanlah aku dari permasalahan ini.” dan kini kita telah lupa pada rayuan itu sedangkan Dialah Tuhan yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang. Ingatlah duhai sahabat, Allah tidak menguji seseorang hamba melainkan dengan kadar dan kudrat hamba itu sendiri. Bersabarlah, tetaplah sentiasa berpegang pada tali yang benar kerana Tuhanmu telah menjanjikan balasan pahala yang tidak terbatas buat mereka yang bersabar.

Katakanlah: Wahai hamba – hambaKu yang beriman! Bertakwalah kepada Tuhanmu. Orang yang berbuat baik di dunia ini akan beroleh kebaikan di akhirat. Dan bumi Allah ini luas. Sesungguhnya orang yang bersabarlah sahaja yang akan disempurnakan pahala mereka dengan tidak terkira.{10}” – Az – Zumar (10)

 

Insan Terbaik

Sedarlah duhai sahabat, kehidupan kita tidak berakhir di dunia ini. Kita akan kembali bertemu Sang Pencipta di suatu hari yang tiada siapa mengetahuinya dengan membawa dosa dan pahala atas setiap amalan kita. Pada hari itu, akan dihitung segala baik buruk yang telah kita lakukan sewaktu hidup di dunia dan diberi balasan yang setimpal dengannya. Beruntunglah bagi mereka yang sentiasa mengingati asal kejadian, mengenali dan mencintai Tuhannya serta beramal dengan sebaik – baik amalan. Darjat, kedudukan, harta dan apa sahaja hal keduniaan langsung tidak memberi manfaat melainkan apa yang telah kita sumbangkan untuk menegakkan syiar agama Islam. Di saat kita mula mempertuhankan wang dan kedudukan, tunggulah balasan azab dari Allah Yang Maha Membalas.

Wahai umat manusia! Sesungguhnya kami telah menciptakan kamu lelaki dan perempuan, dan Kami telah jadikan kamu berbagai bangsa dan suku puak, supaya kamu saling berkenalan. Sesungguhnya semulia – mulia kamu di sisi Allah ialah orang yang paling bertakwa di antara kamu. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Mendalam Pengetahuan – Nya.{13}” – Al – Hujurat (13)

 

Sahabat, persiapkanlah bekalanmu sebelum dijemput menghadap Ilahi dan bertakwalah dengan sebenar – benar takwa, nescaya kamu tergolong dalam kalangan hamba yang mulia di sisi Tuhanmu.

Pemenang Artikel Bulan Kemerdekaan Neowangsa

1. Merdeka dan Kita?

Pada tanggal 31 Ogos tahun 1957, menyaksikan rakyat dari seluruh pelusuk Tanah Melayu bersama-sama meraikan kemerdekaan negara. Tarikh ini menjadi tarikh keramat teramat penting dalam catatan sejarah Malaysia setelah beratus tahun lamanya dijajah oleh kuasa luar. Jeritan merdeka yang dilaungkan penuh bermakna oleh Bapa Kemerdekaan Malaysia, Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj ini menjadi titik tolak kepada pembentukan sebuah negara yang berdaulat dan merdeka. Jeritan keramat “Merdeka! Merdeka! Merdeka!” ini akan dilaungkan dengan penuh semangat pada tanggal 31 Ogos setiap tahun. Tahun ini menyaksikan genap sudah 60 tahun negara kita merdeka daripada penjajahan fizikal. Negara kita kini sedang pesat membangun dalam pelbagai aspek kemajuan. Malah, taraf hidup untuk rakyat juga mengalami transformasi ke arah yang lebih baik. Namun, di sebalik segala pencapaian dan nikmat kemerdekaan yang dianugerahkan itu apakah kita sudah benar-benar merdeka? Generasi pasca merdeka khususnya dilihat masih kurang dalam mendalami erti sebenar kemerdekaan. Hal ini berlaku ekoran daripada mereka lahir dalam keadaan negara yang makmur dan tidak berkesempatan merasai jerih perihnya pengorbanan insan-insan terdahulu berjuang dan berkorban seluruh keringat mereka demi memperjuangkan kebebasan dan kemerdekaan negara daripada cengkaman penjajah. Melihat kepada fenomena ini, generasi muda dilahirkan dalam keadaan perkembangan teknologi yang canggih ditambah pula negara telah mengalami pelbagai transisi ke arah menjadi negara yang pesat membangun. Keadaan ini menjadikan mereka sebagai generasi yang tidak berkesempatan untuk merasai kesusahan dan kesukaran masyarakat terdahulu sebelum negara beroleh kemerdekaan. Tanpa berada di posisi tersebut, amatlah sukar bagi mereka untuk menjiwai suasana itu sendiri. Selain itu, dapat diperhatikan rakyat Malaysia masih ada yang kurang mengenali tokoh-tokoh negara yang telah banyak berjasa menentang penjajah dan membawa negara mengecapi kemerdekaan. Jika ditanya, kebanyakan mereka lebih mengenali selebriti-selebriti luar dan dalam negara berbanding tokoh sejarah seperti Tok Kenali, Haji Abdul Rahman Limbong dan Rentap. Malah, mereka lebih cenderung menjadikan artis atau selebriti sebagai ikutan atau idola. Generasi muda khasnya tidak perlu terlalu ghairah mengagungkan atau mengutamakan unsur-unsur hiburan semata. Sepatutnya mereka perlu mencontohi semangat kepahlawanan, cintakan negara serta menjadikan tokoh-tokoh negara ini sebagai idola. Jika budaya hedonisme terlalu diagungkan, maka akan luntur dan terabailah semangat dan rasa cinta akan negara dikalangan orang muda. Dapat kita lihat pada setiap kali sambutan kemerdekaan, maka hari yang penuh bersejarah ini pasti akan disambut meriah dengan laungan gempita “Merdeka!”, kibaran Jalur Gemilang dan juga pelbagai perarakan dianjurkan oleh pihak kerajaan. Namun, bagi segelintir masyarakat, ada yang merasakan laungan keramat merdeka ini hanyalah sekadar laungan biasa yang dilaungkan saban tahun sebagai tanda memeriahkan acara sambutan tahunan kemerdekaan. Tanpa rasa yang mendalam, ada yang menganggap laungan ini sebagai halwa telinga sahaja yang acapkali didengar melalui lagu-lagu sambutan kemerdekaan yang diperdengarkan dicorong-corong radio dan juga kaca televisyen. Malah, ada pula yang berpendapat sambutan kemerdekaan hanyalah sekadar keseronokan menghadiri perarakan merdeka, menghias dan
mengibarkan bendera Jalur Gemilang tidak kira di premis bangunan, rumah atau pada kenderaan bertujuan untuk memeriahkan suasana sambutan sahaja. Bahkan ada juga yang menganggap hari merdeka hanyalah sekadar cuti umum yang digunakan untuk berehat dan tidak ada bezanya dengan cuti umum yang lain. Hal ini sebenarnya tidak boleh dipandang enteng oleh semua pihak khususnya dari pihak berwajib. Langkah-langkah untuk menyerapkan kembali rasa cinta dan sayang akan negara oleh rakyat terutama di kalangan generasi muda perlu sentiasa diberi perhatian. Ada yang berkata, generasi hari ini adalah cerminan negara pada masa muka. Kita tidak mahu segala jerih perih kesusahan masa lalu dalam memerdekakan negara tidak dihargai malah dirosakkan oleh generasi muda atas dasar kealpaan dan juga kecuaian sendiri. Wajarlah kiranya inisiatif diambil dalam usaha menerapkan dan menyuburkan kembali semangat patriotisme dalam diri generasi muda. Pepatah ada berkata, “melentur buluh, biarlah dari rebungnya.” Melalui pemerkasaan kurikulum pendidikan, intipati aspek kenegaraan perlu diperkenalkan bersesuaian dengan peringkat pendidikan mencakupi sekolah rendah dan menengah serta di peringkat institusi pengajian tinggi di negara ini. Pendidikan berkaitan kenegaraan dilihat sebagai medium terpenting dalam usaha melahirkan generasi yang mempunyai kecintaan yang tinggi kepada negara. Melalui pendidikan, rasa cintakan negara ini dapat diterjemahkan melalui sikap dan amalan baik dikalangan generasi muda dalam usaha mereka untuk mengisi kemerdekaan. Seterusnya, sejajar dengan kepesatan perkembangan teknologi digital dan media sosial di negara ini, wajar kiranya ia dijadikan sebagai platfom paling berkesan untuk merancakkan promosi kesedaran kenegaraan yang berterusan. Melalui aplikasi terkini seperti Twitter, Instagram dan Facebook misalnya, pelbagai informasi dan program berkaitan semangat kecintaan kepada negara dapat disebarkan dengan pantas dan terus kepada rakyat terutama kepada golongan muda yang merupakan antara pengguna tegar media sosial di negara ini. Jaringan media sosial ini membolehkan berlakunya perkongsian berinformasi berkenaan fakta tentang sejarah negara secara kreatif kerana dirasakan masih ada dikalangan masyarakat yang kurang mengetahui tentang kisah-kisah penting berkenaan sejarah negara dan ada juga segelinitir rakyat yang masih bersikap tidak ambil peduli. Amatlah diharapkan agar segala usaha yang dijalankan tidaklah sekadar melepaskan batuk di tangga sahaja supaya penghayatan tentang nilai kemerdekaan dan kenegaraan akan sentiasa dirasai sepanjang masa. Diharap juga melalui langkah-langkah yang diambil ini dapat membantu golongan pasca merdeka di negara kita untuk terus menghayati keamanan dan kestabilan yang kita miliki sekarang disamping berusaha keras memastikan nikmat merdeka ini terus dikecapi demi agama, bangsa dan juga negara. Adalah menjadi satu keperluan untuk disematkan di dalam hati dan sanubari setiap rakyat bahawa untuk menghadirkan kemerdekaan kepada sesebuah negara bukanlah suatu agenda yang mudah . Jadi, sudah menjadi tanggungjawab generasi pada hari ini untuk terus mengekalkan kemerdekaan ini dan seterusnya mewarisinya kepada generasi akan datang untuk dimartabatkan dan terus dijulang tinggi.

Zainab Binti Ibrahim
DPA17060331
Sidang 5 (Invictus)

 

 

 

2. FOR THE LOVE OF MALAYSIA: LATE GANDHI TO THE RESCUE

Today, the culture in Malaysians is of a so much beautiful fusion. In families of Malaysians, we can see some of them speak the language of English. They, the Westerners left a pretty deep mark on the lives of Malaysian. After long years of western colonization, our mothers and fathers adapted to their lifestyle little by little, for instance, my father a graduate from Sekolah Dato Abdul Razak which during the time of his attendance delivered full English education. Whilst my mother also attended an English school, so ‘English’ that she had to learn the bible for it was a requirement of graduation. During that time there was no other choice, people back then had to accept English education for a more proper life-English schools are better compared to Malay School. It was rather true my parents said. They had this privilege of being the graduates of the British schools, since they were always preferred in the working field. I remember back then when I was in UiTM trying to get my degree. In my class, students who don’t speak good English was mocked and laughed at. Everybody was being scornful towards them. There was one fellow in particular; unwanted in our class because it was almost compulsory that in any presentation or assignment, his group would get the lowest mark. If I am, being honest, I didn’t want pair with him either but I had to since I was on medical leave on the day where everyone chose their partner -and of course he was the only one left without a team. Our first day of meeting at the library, I was half-hearted, already so ready to volunteer myself to finish the assignment on my own so that I won’t be dragged into the gutter with him. Yes I was that kind of girl. But I guess it did not show, because I have this good girl look on my face and I always speak good words to him and encouraged him in class. He explained to me (in Malay) what he understood about a criminal philosophy that we were working on. Trust me, I have never heard of anything more passionate, understanding that went so deep and appreciation on a philosophy so thorough. His passion for criminal law, deep understanding, was unnoticed in our class even by the lecturer just because he could not speak nor write proper English.

Believe it or not, that was the biggest slap on my face-a monstrous wake up call, a blessing in disguise. We, the students of Law were trained have ratio decidendi and obiter dicta of the landmark cases-which would be usually the words from the English learned judges learnt by heart in order to make a living. We are taught to learn to make decisions the way the English would. We are trained to talk like them, speak and even write like them. It started to feel overwhelming for me this great culture influence.

What if Malaysia today, is yesterday’s India, will Gandhi be crying at the corner of his house, that great figure of  freedom? “I do not want my house to be walled in on all sides and my windows to be stuffed. I want the cultures of all lands to be blown about my house as freely as possible. But I refuse to be blown off my feet by any. I refuse to live in other people’s houses as an interloper, a beggar or a slave.” He once said. In his lifetime he had always wanted to learn and watch all the cultures as freely as he could, but he would keep his hearts strong to not let himself be absorbed with them. This would be the remedy to the problem occurring in Malaysia. If we were to take his stand to our life, we would enjoy the learning of the new cultures of the western- the way they dress, speak, work hard to achieve goals and but we would not let ourselves molest the beauty of our own culture to dress in modesty, discriminate those who do not speak of English or to oppress the weak to gain our aim in life. His other philosophy is his words “I hope that some of you will follow in my footsteps, and after you return from England you will work wholeheartedly for big reforms in India” He welcomes the learning of new cultures for the self and nation enhancement. He was himself a lawyer in the United Kingdom but never did he forget his roots while he took in all what the foreign land has for him to learn from. We often forget that humility and our roots are what define us. Of course my partner and I scored the lowest in our assignment, got laughed at during our presentation, but he thought me a very important lesson among humility, which I might not learn elsewhere. Let us not get caught up with the idea of being the great children of the West. Let us hold strong to our roots and culture, respect each other, and be passionate about things that we love. If only I learn this much earlier, like my particular assignment partner did, maybe I myself could end up a Sessions Court Judge like him.

NUR IZZATI BINTI MOHD HAMDI

DPA17060153

Sidang 2 (Gapura)

 

 

3. TAJUK: MENGHARGAI NIKMAT KEMERDEKAAN

Arus globalisasi telah membuka lembaran baharu dalam kerangka peradaban dunia. Capaian maklumat yang semakin pantas, budaya santifik dan teknologi yang semakin berleluasa, hubungan politik dan kerjasama ekonomi yang merentas sempadan adalah antara cabaran- cabaran yang kian memuncak. Dampak dan manifestasi fenomena ini secara tidak langsung turut mempengaruhi gaya hidup masyarakat Malaysia yang lebih fokus dalam memperkemaskan diri mereka untuk berdepan dengan persekitaran global yang semakin mendesak. Natijahnya, masyarakat Malaysia khasnya generasi pasca merdeka kurang menelusuri dan menghayati nikmat kemerdekaan.

Masyarakat Malaysia khususnya generasi muda merupakan nadi utama yang berdenyut dalam pembuluh darah negara dan agen peneraju untuk merealisasikan agenda nasional. Perkara ini turut dicita-citakan oleh YAB Dato’ Seri Najib Tun Razak, Perdana Menteri Malaysia, apabila menyatakan generai muda merupakan penyambung Transformasi Nasional (TN 50) yang akan membawa Malaysia ke peringkat yang lebih tinggi di mata dunia menerusi ucapan beliau semasa meninjau raptai penuh sambutan Hari Kebangsaan tahun 2017. Oleh itu, semangat nasionalisme dan benteng patriotisme yang tinggi merupakan bekalan ampuh bagi generasi muda untuk mendokong aspirasi nusa dan bangsa serta menjadi pelengkap dalam memeta kerangka hala tuju negara. Rakyat Malayaia yang sentiasa mengamalkan nilai-nilai murni seperti kesepakatan, permuafakatan dan perpaduan yang utuh merupakan asas kepada kecemerlangan negara.

Rakyat Malaysia yang berbilang kaum juga memainkan peranan yang amat signifikan dan menjadi tulang belakang untuk memartabatkan kedaulatan tanah air. Segala kejayaan dan kemakmuran yang dikecapi oleh Malaysia sepanjang 60 tahun kemerdekaan adalah hasil ikatan kerjasama antara rakyat Malaysia waima daripada pelbagai keturunan dan latar belakang yang berjaya memecahkan ruyung-ruyung ketidakyakinan dalam membina jambatan perhubungan antara kaum yang pelbagai tersebut. Pengukuhan jati diri dan semangat cintakan negara akan sentiasa menjadi peringatan kepada setiap warganegara Malaysia menggalas tanggungjawab besar mereka terhadap ibu pertiwi iaitu mengekalkan suasana harmoni dan sebuah negara yang aman serta mereka bagi mengekalkan kemerdekaan yang sedia ada.

Selain itu, rakyat Malaysia juga perlu menanam sikap kesetiaan dalam diri terhadap kepimpinan kerajaan dan negara bagi kelangsungan ekonomi dan sosial negara. Memetik kata-kata Yang Teramat Mulia Tunku Abdul Rahman, Bapa Kemerdekaan Negara semasa membentangkan usul penggubalan Perlembagaan di Majlis Perundangan Persekutuan pada 10 Julai 1957. “for the future wellbeing of our country, we expect and demand the undivided loyalty of all who wish to call themselves Malayans; … let us make it work and build for ourselves and our descendants a shangrila whereby we can all live in peace, happiness and prosperity". Kesetiaan kepada negara yang juga merupakan sebahagian daripada ideologi nasional seperti yang diterjemahkan menerusi Rukun Negara juga menggambarkan betapa elemen dan nilai ini memainkan peranan dalam memastikan kemerdekaan negara kita tidak terancam dan tidak memberikan peluang kepada anasir-anasir jahat serta campur tangan asing dalam hal-hal dalaman negara yang sekaligus boleh mengganggu gugat kedaulatan negara.

Rakyat Malaysia perlu menghayati makna kemerdekaan sepanjang masa dan meletakkan diri mereka di barisan hadapan sebagai pelopor dan pendukung utama agenda pembangunan negara. Amalan dan pemantapan budaya menghargai kemerdekaan di kalangan masyarakat anggota amat signifikan dalam mewujudkan paradigma baru untuk meningkatkan kecemerlangan Malaysia. Memetik nukilan Pendeta Za’aba dalam bukunya “Perangai Bergantung pada Diri Sendiri”; “Sesuatu negeri dan bangsa menjadi naik atau turun, menjadi maju atau ketinggalan, ialah semua itu terikat kepada sifat-sifat keadaan diri tiap- tiap seorang tunggalnya yang menjadikan bangsa itu atau yang menduduki negeri itu.” menjelaskan betapa ketinggian nilai-nilai dan elemen-elemen yang berkaitan dengan jati diri, patriotisme dan semangat cintakan negara sesuatu bangsa itu menentukan jatuh bangunnya sesebuah bangsa dan negara yang amat relevan dalam mengekalkan kemerdekaan tanah tumpahnya darah kita ini.

M. Saravanapavan A/L M. Manohara
DPA17060275
Sidang 4 (Andeka)

Rohingya – Myanmar, Bukan Sekadar Isu Agama

Oleh: Wan Siti Auni binti Wan Samsudin. 

Rohingya merupakan kelompok minoriti Islam di Myanmar dan disenaraikan sebagai etnik yang paling ditindas di dunia oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB). Etnik Rohingya dikatakan mempunyai campuran darah pelbagai bangsa seperti Arab, Parsi, Afghanistan, Bengal dan juga Chittagong. Etnik Rohingya tinggal di daerah Rakhine (Arakan) dan merupakan salah satu etnik terbesar selain daripada Rakhines (penganut Buddha).

Ada pendapat yang mengatakan bahawa penempatan Muslim di Rakhine telah bermula lebih 500 tahun dahulu. Namun semasa penaklukan Burma (Myanmar) ke atas Rakhine, ramai etnik Rohingya telah dibunuh dan melarikan diri ke negara lain. Selepas Rakhine ditawan oleh British, etnik Rohingya kembali semula ke Rakhine dan menyokong kerajaan British. Sewaktu Perang Dunia Ke-2, kebanyakan pejuang tempatan Burma memperjuangkan kemerdekaan Burma dari British dengan menyokong Jepun. Disebabkan perbezaan sokongan terhadap penjajah, maka tercetuslah konflik dan juga pertumpahan darah diantara Rohingya dan juga Rakhines (penganut Buddha di Rakhine).

Semasa kemerdekaan Burma pada tahun 1948, semua etnik-etnik di Burma kecuali Karen dan Rohingya telah bersetuju untuk menandatangani Perjanjian Panglong untuk menubuhkan Union of Burma. Etnik Karen menentang kerajaan tentera dan memperjuangkan Negeri Karen. Walaupun etnik Karen bukan beragama Islam dan diiktiraf sebagai warganegara, etnik mereka juga ditindas dan tidak terkecuali dari operasi pembersihan etnik oleh kerajaan tentera. Implikasinya, hampir beribu orang Karen (Buddha dan Kristian) terbunuh dan menjadi pelarian. Untuk mengelakkan berlaku lagi gerakan menentang kerajaan tentera, Jeneral Ne Win (Perdana Menteri) mengarahkan supaya pemimpin-pemimpin golongan minoriti ditangkap dan dihalau dari Myanmar selain menafikan hak pemimpin tersebut untuk mengundi.

Carta alir sejarah kependudukan Rohingya di Arakan
Muka hadapan dokumen Akta Warganegara Burma 1982

Akta Warganegara 1982 yang diwujudkan kerajaan Myanmar juga menjadi penyumbang kepada isu Rohingya. Untuk menjadi warganegara Myanmar, individu tersebut hendaklah dapat membuktikan bahawa keturunan mereka telah tinggal di Burma sebelum tahun 1823. Rohingya menerima kesan daripada akta ini kerana tidak dapat membuktikan dakwaan yang mereka telah berada lama di Myanmar. Oleh itu, sehingga ke hari ini Rohingya dianggap sebagai pendatang haram dari Bangladesh dan dinafikan segala hak keistimewaan sebagai warganegara.

Buddhism mempunyai pengaruh yang kuat dalam masyarakat Burma dan kerajaannya kerana ianya merupakan agama rasmi negara Burma (Myanmar). Pihak tentera dan kumpulan Gerakan 969 dipimpin oleh seorang sami bernama Ashin Wirathu. Ashin Wirathu mempengaruhi penduduk Myanmar untuk membenci Islam dengan menyebarkan dakwah bersifat anti-Islam melalui media sosial dan DVD. Ramai penduduk Buddha terpengaruh dan menyokong gerakan ini. Hal ini telah menyebabkan parti kerajaan yang memerintah sekarang tidak membantah tindakan Wirathu kerana bimbang akan hilang sokongan rakyat Myanmar. Aung San Suu Kyi juga hanya mendiamkan diri mengenai isu ini kerana takut untuk kehilangan sokongan rakyat.

Ashin Wirathu

Ajaran dan idea yang dibawa oleh Ashin Wirathu ini adalah bersifat peribadi dan juga dikategorikan sebagai extremis Buddha. Ini kerana idea untuk menyebarkan kebencian terhadap agama lain adalah bertentangan dengan mana-mana agama yang ada di dunia ini termasuk Islam.  Dalam ajaran Buddha, Buddha sendiri melarang penganutnya untuk menyebarkan ajaran melalui senjata dan kekerasan apatah lagi melakukan penindasan terhadap mereka yang tidak sehaluan.

            Sebagai kesimpulannya, isu Rohingya berlaku adalah bukan sahaja disebabkan oleh faktor agama ianya juga berkaitan dengan sejarah, bangsa, politik dan juga warganegara. Sebagai individu, setiap daripada kita hendaklah memainkan peranan untuk bersuara terhadap penindasan yang berlaku ke atas warga Rohingya. Usaha berterusan untuk membela nasib Rohingya sepatutnya sentiasa dilakukan. Kita juga haruslah bersifat adil dalam membela nasib pelarian-pelarian tidak kira daripada mana asalnya mereka. Kita juga perlulah sentiasa meletakkan hak asasi kemanusiaan sebagai perkara paling utama yang akan dititikberatkan dalam membantu dan menyuarakan hak-hak mereka yang ditindas.

Sumber:

  • http://www.aljazeera.com/indepth/features/2017/08/rohingya-muslims-170831065142812.html
  • https://www.washingtonpost.com/news/worldviews/wp/2015/02/13/why-does-this-buddhist-majority-nation-hate-these-muslims-so-much/?utm_term=.f4e682a86d7e