Skip to main content

Rohingya – Myanmar, Bukan Sekadar Isu Agama

Oleh: Wan Siti Auni binti Wan Samsudin. 

Rohingya merupakan kelompok minoriti Islam di Myanmar dan disenaraikan sebagai etnik yang paling ditindas di dunia oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB). Etnik Rohingya dikatakan mempunyai campuran darah pelbagai bangsa seperti Arab, Parsi, Afghanistan, Bengal dan juga Chittagong. Etnik Rohingya tinggal di daerah Rakhine (Arakan) dan merupakan salah satu etnik terbesar selain daripada Rakhines (penganut Buddha).

Ada pendapat yang mengatakan bahawa penempatan Muslim di Rakhine telah bermula lebih 500 tahun dahulu. Namun semasa penaklukan Burma (Myanmar) ke atas Rakhine, ramai etnik Rohingya telah dibunuh dan melarikan diri ke negara lain. Selepas Rakhine ditawan oleh British, etnik Rohingya kembali semula ke Rakhine dan menyokong kerajaan British. Sewaktu Perang Dunia Ke-2, kebanyakan pejuang tempatan Burma memperjuangkan kemerdekaan Burma dari British dengan menyokong Jepun. Disebabkan perbezaan sokongan terhadap penjajah, maka tercetuslah konflik dan juga pertumpahan darah diantara Rohingya dan juga Rakhines (penganut Buddha di Rakhine).

Semasa kemerdekaan Burma pada tahun 1948, semua etnik-etnik di Burma kecuali Karen dan Rohingya telah bersetuju untuk menandatangani Perjanjian Panglong untuk menubuhkan Union of Burma. Etnik Karen menentang kerajaan tentera dan memperjuangkan Negeri Karen. Walaupun etnik Karen bukan beragama Islam dan diiktiraf sebagai warganegara, etnik mereka juga ditindas dan tidak terkecuali dari operasi pembersihan etnik oleh kerajaan tentera. Implikasinya, hampir beribu orang Karen (Buddha dan Kristian) terbunuh dan menjadi pelarian. Untuk mengelakkan berlaku lagi gerakan menentang kerajaan tentera, Jeneral Ne Win (Perdana Menteri) mengarahkan supaya pemimpin-pemimpin golongan minoriti ditangkap dan dihalau dari Myanmar selain menafikan hak pemimpin tersebut untuk mengundi.

Carta alir sejarah kependudukan Rohingya di Arakan
Muka hadapan dokumen Akta Warganegara Burma 1982

Akta Warganegara 1982 yang diwujudkan kerajaan Myanmar juga menjadi penyumbang kepada isu Rohingya. Untuk menjadi warganegara Myanmar, individu tersebut hendaklah dapat membuktikan bahawa keturunan mereka telah tinggal di Burma sebelum tahun 1823. Rohingya menerima kesan daripada akta ini kerana tidak dapat membuktikan dakwaan yang mereka telah berada lama di Myanmar. Oleh itu, sehingga ke hari ini Rohingya dianggap sebagai pendatang haram dari Bangladesh dan dinafikan segala hak keistimewaan sebagai warganegara.

Buddhism mempunyai pengaruh yang kuat dalam masyarakat Burma dan kerajaannya kerana ianya merupakan agama rasmi negara Burma (Myanmar). Pihak tentera dan kumpulan Gerakan 969 dipimpin oleh seorang sami bernama Ashin Wirathu. Ashin Wirathu mempengaruhi penduduk Myanmar untuk membenci Islam dengan menyebarkan dakwah bersifat anti-Islam melalui media sosial dan DVD. Ramai penduduk Buddha terpengaruh dan menyokong gerakan ini. Hal ini telah menyebabkan parti kerajaan yang memerintah sekarang tidak membantah tindakan Wirathu kerana bimbang akan hilang sokongan rakyat Myanmar. Aung San Suu Kyi juga hanya mendiamkan diri mengenai isu ini kerana takut untuk kehilangan sokongan rakyat.

Ashin Wirathu

Ajaran dan idea yang dibawa oleh Ashin Wirathu ini adalah bersifat peribadi dan juga dikategorikan sebagai extremis Buddha. Ini kerana idea untuk menyebarkan kebencian terhadap agama lain adalah bertentangan dengan mana-mana agama yang ada di dunia ini termasuk Islam.  Dalam ajaran Buddha, Buddha sendiri melarang penganutnya untuk menyebarkan ajaran melalui senjata dan kekerasan apatah lagi melakukan penindasan terhadap mereka yang tidak sehaluan.

            Sebagai kesimpulannya, isu Rohingya berlaku adalah bukan sahaja disebabkan oleh faktor agama ianya juga berkaitan dengan sejarah, bangsa, politik dan juga warganegara. Sebagai individu, setiap daripada kita hendaklah memainkan peranan untuk bersuara terhadap penindasan yang berlaku ke atas warga Rohingya. Usaha berterusan untuk membela nasib Rohingya sepatutnya sentiasa dilakukan. Kita juga haruslah bersifat adil dalam membela nasib pelarian-pelarian tidak kira daripada mana asalnya mereka. Kita juga perlulah sentiasa meletakkan hak asasi kemanusiaan sebagai perkara paling utama yang akan dititikberatkan dalam membantu dan menyuarakan hak-hak mereka yang ditindas.

Sumber:

  • http://www.aljazeera.com/indepth/features/2017/08/rohingya-muslims-170831065142812.html
  • https://www.washingtonpost.com/news/worldviews/wp/2015/02/13/why-does-this-buddhist-majority-nation-hate-these-muslims-so-much/?utm_term=.f4e682a86d7e

Sukan SEA 2017 Paling Berjaya

Oleh Fitri Affendi Bin Mustafa

Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 baru sahaja melabuhkan tirai pada 30 Ogos yang lalu. Sebagai tuan rumah, Malaysia menepati ramalan apabila muncul sebagai juara keseluruhan kejohanan sukan tersebut dengan mengumpul sebanyak 145 pingat emas, 92 pingat  perak dan 86 pingat  gangsa. Jumlah pungutan tersebut telah membantu Malaysia meninggalkan Thailand yang muncul sebagai naib johan keseluruhan dengan pungutan 76 pingat  emas, sekaligus melepasi sasaran pungutan pingat yang ditetapkan oleh Kementerian Belia dan Sukan, iaitu sebanyak 111 pingat emas daripada kontinjen Sukan SEA negara.

Lebih manis lagi, kejayaan Malaysia muncul sebagai juara keseluruhan Sukan SEA itu berlaku pada tarikh yang sama negara Malaysia meraikan Hari Kebangsaan yang ke-60 pada 31 Ogos yang lalu. Meskipun rakyat Malaysia sedikit hampa apabila gagal meraih “ibu” kepada segala pingat dalam acara bola sepak namun semangat dan prestasi yang ditunjukkan oleh semua atlet negara sudah cukup membanggakan.

Lebih membanggakan, atlet pecut negara, Khairul Hafiz Jantan berjaya merampas gelaran Raja Pecut Asia Tenggara apabila memenangi pingat emas dalam acara larian 100 meter. Selain itu, Malaysia juga menunjukkan dominasi dalam beberapa acara lain termasuklah lumba basikal, terjun dan hoki apabila memenangi hampir semua acara yang dipertandingkan seperti yang dijangka.

Juara Keirin dunia, Mohd Azizulhasni Awang membuktikan bahawa beliau berada dalam kelas tersendiri apabila beliau langsung tidak tercabar sehingga mampu memenangi 2 pingat emas dalam acara lumba basikal. Sememangnya kejayaan atlet negara dalam Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 wajar diraikan oleh semua pihak tanpa mengira agama dan bangsa. Hal ini dikatakan demikian kerana Malaysia telah berjaya menganjurkan kejohanan sukan terbesar Asia Tenggara itu tanpa sebarang masalah.

Seluruh rakyat Malaysia telah mengetepikan perbezaan politik, agama dan budaya untuk memberikan sokongan yang tidak berbelah bahagi kepada atlet negara yang beraksi. Perdana Menteri Malaysia, YAB Dato’ Sri Mohd Najib bin Tun Abd Razak semasa berucap dalam majlis penutup kejohanan tersebut menyifatkan kejayaan kontinjen Malaysia yang muncul juara keseluruhan Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 umpama mimpi yang menjadi kenyataan.

Jelas Perdana Menteri, negara bukan sahaja meraikan dua kejayaan, tetapi tiga kejayaan yang cukup bermakna.

“Ada orang kata sambutan ini membawa dua kegembiraan, iaitu pertama Malaysia menjadi hos temasya Sukan SEA Ke-29 dan kedua kita menyambut sambutan ke-60 tahun kemerdekaan.

“Tetapi sebenarnya bukan kejayaan berganda, tetapi tiga kejayaan. Kerana apa? Kerana Malaysia dijulang sebagai juara keseluruhan Sukan SEA dengan meraih 145 pingat emas daripada 404 acara yang dipertandingkan,” katanya.

Jelas Perdana Menteri lagi, jumlah itu ialah 35.9 peratus daripada jumlah keseluruhan pingat emas yang dipertandingkan sekali gus menjadikan Sukan SEA pada kali ini merupakan paling berjaya untuk Malaysia.

Sehubungan itu, sebagai rakyat Malaysia, kita seharusnya berbangga dengan pencapaian atlet-atlet Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 yang telah menampilkan prestasi bertenaga seterusnya mengharumkan nama negara di pentas rantau Asia Tenggara.

SUTERA Mempelbagaikan Aktiviti Sukan Kadet PTD 2017

Oleh Asma Fatihah Binti Abdul Harim. 

Pada 13 September (Rabu) lepas, telah bermulanya sesi pertama aktiviti sukan teras (SUTERA) bagi Kadet DPA tahun 2017. SUTERA adalah aktiviti yang dikendalikan oleh Exco Sukan yang bertujuan untuk mengisi modul PT pada hari Rabu dengan lebih fokus. Semua sukan SUTERA dijalankan secara serentak sekalipun di berbeza-beza tempat latihan. Sebagaimana PT, kehadiran kadet Neowangsa ke SUTERA masing-masing adalah diwajibkan kecuali bagi yang mendapat perlepasan daripada pemilik modul iaitu, En. Mohd Azlan Bin Baharin.

Kadet Neowangsa 2017 telah ditawarkan dengan lapan jenis sukan di dalam aktiviti SUTERA ini iaitu badminton, ping pong, tenis, bola jaring, futsal, bola tampar, golf, renang. Pemohonan kadet untuk sukan SUTERA adalah mengikut polisi first-come, first-served (FCFS) memadangkan setiap sukan SUTERA hanya menyediakan 50 kuota peserta. Pada 22 Ogos 2017, satu proses pemilihan telah dijalankan melalui edaran pautan google form yang telah dihebahkan 2 jam lebih awal dari waktu pemilihan dibuka.

SUTERA bermatlamat untuk memberi peluang kepada Kadet Neowangsa untuk mendapatkan bimbingan dan teknik asas bagi sukan yang diminati atau yang ingin dipelajari. Oleh kerana itu, setiap SUTERA akan dibimbing oleh jurulatih-jurulatih bertauliah selama 14 sesi yang dijangka akan berakhir pada 22 Disember 2017. Selain itu, SUTERA dilihat bukan sahaja dapat menjadikan Kadet Neowangsa lebih aktif menceburi bidang sukan, malah juga dapat mengeratkan hubungan setiakawan satu neowangsa melalui pembelajaran aktiviti-aktiviti sukan ini.

Mengikut perancangan, SUTERA akan dijalankan pada setia hari rabu kecuali bagi SUTERA Renang Wanita akan berlangsung pada hari Isnin. Sebahagian bahan dan peralatan telah disediakan oleh UKS, INTAN Bukit Kiara, manakala sebahagian bahan seperti raket badminton dan tenis disediakan oleh kadet masing-masing.

“Discipline and always obey the rules” – Kovindran Babu

By FITRI AFFENDI MUSTAFA. 

Kovindran Babu A/L Paniselvam, 30, has never thought that he will be the first receiver for Cadet of The Month Award. He was awarded during Monday Assembly by Dr Razali, Head of Cluster, Cluster of Professional Development and Ethics.

The police sergeant from Penang could not imagine that he will be selected for the award by Sub Kluster Pembangunan Modal Insan (SKPMI) for the month of August.

He is dedicating the award to his friends and teammates in the Election Commission (EC) of Diploma Pengurusan Awam (DPA) Pengajian Pascasiswazah 2017. He added, “They assisted me a lot and it helped me to be a good EC Chairman.”

“I feel very happy to receive this award, not only for me but also on behalf of my teammates. All of them are the key for me to succeed and I learned on how to be a good leader too.”

“It was a tough task but I considered that as a great opportunity for me to gain experience in leadership. I am thankful because the election ran smoothly and the committee members also received compliments from SKPMI and other cadets,” he mentioned when sharing his experience as the Chairman of DPA EC 2017.

Kovindran Babu stated that a leader should learn to listen to each and every opinion from others to find the best solution in all aspects.

He quoted maintaining discipline and obeying the rules as the keys of success for him in DPA 2017.

“Those are the keys for me to succeed. I will always be focused, maintain my discipline and obey the rules set by SKPMI.”

“The most important thing is attitude. Keep calm and try to listen for opinions from each member. It gives me a chance to be a better cadet and person in life,” said Kovindran.

Majlis Deklamasi Lakon Lagenda Raja Lanun

Disediakan oleh: Fitri Affendi bin Mustafa.

Kuala Lumpur, 8 September 2017 – Bertempat di Dewan Serbaguna INTAN Bukit Kiara, telah berlangsung sebuah majlis Deklamasi Lakon Lagenda Raja Lanun yang dipersembahkan oleh Bahtera Production. Majlis bermula pada pukul 8.00 malam dan berakhir pada pukul 10.30 malam. Turut hadir YBrs. Dr. Mohd Ghazali bin Abas, Pengarah INTAN bersama tetamu – tetamu kehormat yang lain.

Majlis ini dimeriahkan lagi dengan kehadiran peserta Program Diploma Pascasiswazah Pengurusan Awam (DPA) INTAN Bil.1/2017 daripada Kumpulan 1,2 dan 3 seramai 240 orang. Pengesahan kehadiran para peserta yang hadir pada malam tersebut dibuat dengan cara mengimbas kad QR yang telah diberikan semasa pendaftaran. Setelah semua tetamu jemputan hadir, majlis dimulakan dengan nyanyian Lagu Negaraku dan Lagu DPA.

Pengarah Program bersama-sama dengan Pengarah INTAN, Timbalan Pengarah INTAN dan Ketua Kluster Pembangunan Profesional dan Etika.

Majlis diteruskan dengan kata-kata aluan dan pembukaan majlis oleh pengarah program, iaitu saudara Mohamad Saiful Azri bin Mohd Fouzi. Majlis yang dianjurkan merupakan tugasan untuk Kumpulan 4 dan 5 bagi Modul Pengurusan Majlis. Seramai 160 orang peserta telah terlibat secara langsung dan tidak langsung dalam majlis tersebut.

Dekon Lagenda Raja Lanun mengisahkan seorang mahasiswa yang kurang patriotik terhadap Negara terjumpa sebuah buku yang mengubah persepsinya supaya lebih menghargai perpaduan yang dikecapi selama ini. Buku yang dibacanya itu bertajuk Lagenda Raja Lanun yang mengisahkan kisah mitos seorang Laksamana Awang Raja Lanun, iaitu pahlawan dan pembesar yang disegani di sebuah negeri Melayu.

Laksamana Awang Raja Lanun pada asalnya menjadi kesayangan Sultan Iskandar Shah dan dicintai oleh Puteri Cendera Dewi namun telah diusir keluar dari negeri tersebut akibat perbuatan khianat dan sihir yang dilakukan oleh Bendahara Tun Gangsa Gila Kuasa dan Temenggung Masut Kaki Hasut yang mencemburuinya.

Deklamasi lakon ini diteruskan dengan babak Laksamana Awang Raja Lanun yang bersumpah untuk mencari penawar bagi sihir yang dideritainya dan membalas dendam terhadap perbuatan jahat Bendahara Tun Gangsa Gila Kuasa dan Temenggung Masut Kaki Hasut.

Laksamana Awang Raja Lanun, Sayyida Al-Hurra serta Kanhoji Angria sedang berbincang setelah Laksamana Awang Raja Lanun dipulihkan oleh Pendeta.

Dalam pengembaraan Laksamana Awang Raja Lanun untuk mencari penawar bagi sihir tersebut, beliau telah bertemu dengan lanun-lanun dari pelbagai negara dan bangsa yang turut menjadi mangsa penganiyaan seperti Laksamana. Dengan bantuan seorang pendeta yang dapat melihat masa hadapan Bendahara Tun Gangsa Gila Kuasa dan Temenggung Masut Kaki Hasut, Laksamana Awang Raja Lanun telah sembuh kembali dan dipersiapkan dengan senjata-senjata dari masa hadapan.

Laksamana Awang Raja Lanun dan para lanun lain yang menjadi rakan seperjuangannya telah kembali ke negeri asal Laksamana Awang Raja Lanun untuk membalas dendam terhadap kejahatan Bendahara Tun Gangsa Gila Kuasa dan  Temenggung Masut Kaki Hasut.

Laksamana Awang Raja Lanun bersama – sama lanun – lanun yang lain datang menyerang Bendahara Tun Gangsa Gila Kuasa dan Temenggung Masut Kaki Hasut di istana untuk membalas dendam. Persatuan lanun – lanun juga disertai oleh pelaut-pelaut yang tidak berpuas hati dengan Bendahara Tun Gangsa Gila Kuasa dan Temenggung Masut Kaki Hasut yang mengenakan cukai yang tinggi kepada penduduk kampung sehingga membebankan dan menjejaskan pendapatan mereka.

Bendahara Tun Gangsa Gila Kuasa dan Temenggung Masut Kaki Hasut telah mengerahkan hulubalang – hulubalangnya menyerang laksamana semula namun tidak berjaya kerana Laksamana telah mempersiapkan dengan alat perlindungan diri. Maka, berlakulah pertempuran antara hulubalang – hulubalang Bendahara Tun Gangsa Gila Kuasa dan Temenggung Masut Kaki Hasut dengan Laksamana Awang Raja Lanun bersama – sama dengan lanun – lanun yang lain.

Lanun-lanun sedang bersuka ria di rumah persatuan lanun.

Akhirnya, Laksamana Awang Raja Lanun berjaya menumpaskan Bendahara Tun Gangsa Gila Kuasa dan Temenggung Masut Kaki Hasut dalam pertempuran tersebut. Namun begitu, salah seorang sahabat Laksamana Awang Raja Lanun yang banyak membantu beliau menyembuhkan sihirnya telah terbunuh dalam pertempuran tersebut sehingga membuatkan Laksamana berasa sangat sedih. Setelah itu, dekon bersambung dengan adegan mahasiswa yang sedang membaca buku Lagenda Raja Lanun tadi tersedar daripada perjalanan cerita.

Terdapat beberapa senjata yang diperkenalkan sepanjang deklamasi lakon ini berlangsung termasuklah seperti “terakol” iaitu senjata api berlaras pendek seakan pistol dan  “istinggar” iaitu senjata api yang panjang yang menggunakan tali sebagai pencucuh.

Gelaran bagi watak – watak didalam deklamasi lakon juga diperkenalkan. Antaranya, Kanhoji Angria yang merupakan salah seorang ketua angkatan Maratha Navy yang tersohor pada abad ke-18 di India dan digelar sebagai hero rakyat kerana keberanian beliau menentang tentera laut British dan Laksamana Awang yang merupakan tokoh pahlawan Melayu yang dikenali sebagai “Enrique”, “Henry The Black”, “Henrich”, “Ariberto”, “Espinosa” dan pelbagai lagi gelaran mengikut sebutan sesuatu bangsa.

Semua tetamu jemputan dan para peserta dijemput untuk menikmati minum malam yang telah disediakan sebelum majlis bersurai. Semua peserta telah berkumpul semula di dewan untuk mendengar maklum balas daripada Perunding Latihan mengenai pengurusan majlis yang telah berlangsung. Kemudian, semua peserta bertungkus lumus mengemas dan membersihkan dewan supaya dewan berada dalam keadaan asal sebelum semua para perserta bersurai.