Skip to main content

Sukan SEA 2017 Paling Berjaya

Oleh Fitri Affendi Bin Mustafa

Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 baru sahaja melabuhkan tirai pada 30 Ogos yang lalu. Sebagai tuan rumah, Malaysia menepati ramalan apabila muncul sebagai juara keseluruhan kejohanan sukan tersebut dengan mengumpul sebanyak 145 pingat emas, 92 pingat  perak dan 86 pingat  gangsa. Jumlah pungutan tersebut telah membantu Malaysia meninggalkan Thailand yang muncul sebagai naib johan keseluruhan dengan pungutan 76 pingat  emas, sekaligus melepasi sasaran pungutan pingat yang ditetapkan oleh Kementerian Belia dan Sukan, iaitu sebanyak 111 pingat emas daripada kontinjen Sukan SEA negara.

Lebih manis lagi, kejayaan Malaysia muncul sebagai juara keseluruhan Sukan SEA itu berlaku pada tarikh yang sama negara Malaysia meraikan Hari Kebangsaan yang ke-60 pada 31 Ogos yang lalu. Meskipun rakyat Malaysia sedikit hampa apabila gagal meraih “ibu” kepada segala pingat dalam acara bola sepak namun semangat dan prestasi yang ditunjukkan oleh semua atlet negara sudah cukup membanggakan.

Lebih membanggakan, atlet pecut negara, Khairul Hafiz Jantan berjaya merampas gelaran Raja Pecut Asia Tenggara apabila memenangi pingat emas dalam acara larian 100 meter. Selain itu, Malaysia juga menunjukkan dominasi dalam beberapa acara lain termasuklah lumba basikal, terjun dan hoki apabila memenangi hampir semua acara yang dipertandingkan seperti yang dijangka.

Juara Keirin dunia, Mohd Azizulhasni Awang membuktikan bahawa beliau berada dalam kelas tersendiri apabila beliau langsung tidak tercabar sehingga mampu memenangi 2 pingat emas dalam acara lumba basikal. Sememangnya kejayaan atlet negara dalam Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 wajar diraikan oleh semua pihak tanpa mengira agama dan bangsa. Hal ini dikatakan demikian kerana Malaysia telah berjaya menganjurkan kejohanan sukan terbesar Asia Tenggara itu tanpa sebarang masalah.

Seluruh rakyat Malaysia telah mengetepikan perbezaan politik, agama dan budaya untuk memberikan sokongan yang tidak berbelah bahagi kepada atlet negara yang beraksi. Perdana Menteri Malaysia, YAB Dato’ Sri Mohd Najib bin Tun Abd Razak semasa berucap dalam majlis penutup kejohanan tersebut menyifatkan kejayaan kontinjen Malaysia yang muncul juara keseluruhan Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 umpama mimpi yang menjadi kenyataan.

Jelas Perdana Menteri, negara bukan sahaja meraikan dua kejayaan, tetapi tiga kejayaan yang cukup bermakna.

“Ada orang kata sambutan ini membawa dua kegembiraan, iaitu pertama Malaysia menjadi hos temasya Sukan SEA Ke-29 dan kedua kita menyambut sambutan ke-60 tahun kemerdekaan.

“Tetapi sebenarnya bukan kejayaan berganda, tetapi tiga kejayaan. Kerana apa? Kerana Malaysia dijulang sebagai juara keseluruhan Sukan SEA dengan meraih 145 pingat emas daripada 404 acara yang dipertandingkan,” katanya.

Jelas Perdana Menteri lagi, jumlah itu ialah 35.9 peratus daripada jumlah keseluruhan pingat emas yang dipertandingkan sekali gus menjadikan Sukan SEA pada kali ini merupakan paling berjaya untuk Malaysia.

Sehubungan itu, sebagai rakyat Malaysia, kita seharusnya berbangga dengan pencapaian atlet-atlet Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 yang telah menampilkan prestasi bertenaga seterusnya mengharumkan nama negara di pentas rantau Asia Tenggara.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *